Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Sabtu, 24 Mac 2018

Harimau Borneo Yang Hilang Taringnya sejak tahun 1995

Harimau Borneo telah hilang taringnya selepas nama seperti Hassan Sani, James Wong, Peter Rajah sudah cukup untuk menggambarkan kehebatan pasukan Sabah dalam kancah bola sepak negara pada satu ketika dahulu.

Selepas berlalunya zaman pemain yang dinyatakan tersebut, hadir pula pemain seperti Matlan Marjan, Yap Wai Loon, Datuk Ong Kim Swee, Scott Ollerenshaw, Khairul Azman Muhammad dan ramai lagi untuk membawa cabaran ‘Negeri Dibawah Bayu’ itu.

Final Piala FA 1995 jadi antara pencapaian hebat buat Sabah


Pada tarikh 8 April 1995 pastinya menjadi saat yang tidak dapat dilupakan oleh penyokong Sabah apabila skuad yang ketika itu dibimbing Kelly Tham berjaya meraih kejuaraan sulung Piala FA buat pasukan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka.

Perlawanan akhir tersebut adalah percubaan ketiga buat Sabah selepas kecewa di halangan terakhir tersebut ditangan Kuala Lumpur pada tahun 1993 (tewas 2-1) dan 1994 (tewas 3-1).



Lawan yang ditemui pada perlawanan akhir musim 1995 itu adalah Pahang, pasukan yang turut masih belum memenangi saingan Piala FA ketika itu.
Pasukan bola sepak Sabah tahun 1995

Kredit foto : google.com

Kesebelasan utama yang membarisi pasukan Sabah pada perlawanan tersebut ialah Khairul Azman Muhammad, Datuk Ong Kim Swee, Gerard Mojiliu, Junaidy Tuah, Veselin Kovacevic, Yap Wai Loon, G. Raveychandran, Jainin Tinin, Milomir Sisliha, Matlan Marjan dan Scott Ollerenshaw.

Pahang pula diperkuatkan oleh Muadzar Mohamed, Azaruddin Aziz, Alan Davidson, Raizuwah Idris, Ahmad Yusof, Zulhamizan Zakaria, Azizul Kamaluddin, Gus Cerro, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Igor Shkvyrin.

Sabah yang berjaya mendahului Pahang dengan keputusan 3-0 pada minit ke-81 harus berterima kasih dengan jaringan yang dihasilkan oleh Matlan Marjan (minit ke-44), Scott Ollerenshaw (minit ke-58) dan Milomir Sislija pada minit ke-81 untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka. Dollah Salleh menjaringkan gol saguhati buat Pahang pada minit ke-89.

Selepas kejayaan tersebut beberapa perkara kurang enak untuk didengari telah melanda bola sepak Sabah dan juga negara dan menyebabkan beberapa pemain Sabah turut sama menerima hukuman.

Terus cemerlang pada tahun 1996


Musim berikutnya juga menjadi antara detik yang gemilang buat Sabah apabila berjaya menjuarai Liga Perdana (ketika itu merupakan liga utama di Malaysia) 1996.

Sabah hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan di kedudukan tempat ke-2 dan 3 iaitu Kedah dan Negeri Sembilan.

Sabah mencatatkan 17 kemenangan, 7 seri dan 4 kekalahan untuk mencatatkan 58 mata pada musim tersebut.

Kecemerlangan tersebut diteruskan apabila Sabah turut melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia, namun mereka dikecewakan oleh Selangor menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat dengan keputusan 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Ketika itu tiga pasukan dari kepulauan Borneo berjaya melayakkan diri ke separuh akhir iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei.

Misi buru Piala Malaysia buat 2 tahun berturut-turut masih gagal


Sabah berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia bagi dua tahun berturut-turut pada tahun 2002 dan 2003 seterusnya dalam usaha untuk memburu kejuaraan sulung dalam piala berprestij di tanah air itu. Namun kedua-dua percubaan tersebut hampa.

Amri Yahyah muncul wira Selangor pada edisi tahun 2002 apabila jaringan emasnya telah memusnahkan harapan Sabah yang ketika itu menaruh harapan kepada Josiah Seton untuk merobek gawang Selangor.


Musim berikutnya giliran Juan Manuel Arostegui pula menghampakan impian Sabah untuk meraih kejuaraan apabila ledakan hatrik daripada pemain dari Argentina itu membawa Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang dibimbing Dollah Salleh menjadi kelab pertama menjuarai Piala Malaysia.


Kesimpulan


Peminat bola sepak tanah air yang begitu mengikuti perkembangan sukan paling popular ini sudah pastinya merindui kelibat pasukan Sabah yang dahulunya begitu ampuh untuk memberikan saingan yang sengit buat pasukan lain kini telah hilang taringnya pada masa ini.

Kini, mereka masih bergelut untuk mempamerkan aksi menarik dan memberikan keputusan yang positif untuk membawa pasukan mereka kembali ke liga utama.

Keadaan di Stadium Likas juga sudah tidak lagi seperti dahulu.

Semoga Sabah dapat kembali menjadi antara pencabar terkuat dalam bola sepak negara pada satu masa nanti !

Kredit foto : obses bola

Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog