Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Selasa, 11 September 2018

Harimau Malaya mengaum di Phnom Penh



Harimau Malaya mengaum di Phnom Penh


Baca juga: Debut yang cemerlang Rawilson Batuil & Azizan Nordin


PHNOM PENH: Skuad Harimau Malaya melakukan kebangkitan untuk menafikan pesta Kemboja bersama jurulatih baharu, Keisuke Honda apabila meraih kemenangan 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh sebentar tadi.



Tiga gol pada babak kedua menerusi Shahrul Saad, Syazwan Andik dan Sharel Fikiri Md Fauzi berjaya memadam hajat bintang Jepun itu membuat permulaan baik sebagai pengendali selepas mendahului pada babak pertama.






Selepas tewas 0-2 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Taipei City Jumaat lalu, Cheng Hoe melakukan lima pertukaran dengan memasukkan Akhyar Rashid, Nasir Basharudin, Syazwan Andik, Khairul Fahmi Che Mat dan Rawilson Batuil yang membuat penampilan pertama.



Beraksi di atas padang rumput tiruan yang becak akibat hujan lebat sehingga perlawanan ditangguhkan selama setengah jam cukup menyeksakan buat pemain negara yang terkial-kial mendapat rentak.



Namun, Kemboja yang mendapat sokongan padu 40,000 penyokong yang tidak menghiraukan hujan lebat untuk hadir ke stadium memberi amaran awal menerusi sepakan percuma pemain import Terengganu Thierry Chantha Bin yang terkena palang pada minit ketiga.



Kegagalan pemain negara mengeluarkan bola sepakan percuma Chantha Bin pada minit ke-17 membawa padah apabila skuad Angkor Warriors yang menduduki ranking ke-166 dunia itu mendahului 1-0 hasil rembatan voli Soeuy Visal.



Malaysia yang berada di ranking ke-171 dunia bagaimanapun terlepas peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-49 selepas sepakan Akhyar melambung tinggi di dalam kotak penalti.



Tiga pertukaran dilakukan sekali gus Cheng Hoe dengan memasukkan Shahrel Fikri, Amirul Azhan dan Fazly Mazlan di minit ke-58 dan ia jelas menampakkan hasil.



Shahrel yang beraksi dengan kelab Thailand Nakhon Ratchasima menjadi pencetus kebangkitan apabila mencipta dua bantuan gol buat Shahrul dan Syazwan di minit ke-62 dan 74 yang juga jaringan pertama mereka di pentas antarabangsa.



Shahrel kemudian meredakan tekanan apabila merembat masuk gol ketiga pada minit ke-92 dan skuad negara juga harus berterima kasih kepada penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang tangkas menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah.



Selepas ini, Harimau Malaya akan beraksi dalam tiga lagi aksi persahabatan pada 8 November bertemu Sri Lanka di Colombo, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat Melaka (12 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional, Bukit Jalil (3 November) sebelum mengharungi Piala AFF.



Dalam saingan itu, Malaysia turut diundi bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar dalam Kumpulan A.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog