Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Ahad, 2 September 2018

PKNS tunjuk Melaka jalan keluar

PKNS tunjuk Melaka jalan keluar




PKNS FC 2 MELAKA 1


Hasrat Melaka untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia lebur selepas tewas 2-1 di tangan PKNS FC dalam aksi kelima Kumpulan B di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Jaringan daripada Romel Morales dan Rafael Ramazotti ternyata sudah cukup untuk mengesahkan tiket kelompok lapan terakhir buat pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal itu walaupun Melaka cuba menyalakan harapan menerusi gol sumbangan Syahrul Azwari Ibrahim.

Turun berbekalkan enam mata hasil daripada satu kemenangan dan tiga seri, Melaka terlebih dahulu dikejutkan oleh gol pembukaan tuan rumah selepas Morales menyempurnakan hantaran lintang Daniel Ting dari sebelah kiri untuk mudah menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentak dengan gol pendahuluan PKNS, anak-anak buah E. Elavarasan itu memperkemaskan permainan sehingga mampu menyamakan kedudukan menerusi Syahrul Azwari sembilan minit selepas rehat.

Bekas penggempur Kelantan itu bijak berbalas hantaran pendek dengan Yahor Zubovich sebelum melepaskan rembatan kaki kanan ke penjuru gawang tuan rumah.

Bagaimanapun, belum sempat Melaka meletakkan diri di depan, PKNS sekali lagi memusnahkan kealpaan benteng skuad Hang Tuah apabila Ramazotti melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan sudut Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-66 bagi memastikan tiga mata buat PKNS.

Kekalahan itu menyaksikan Melaka kekal di tangga ketiga sambil PKNS dan pendahulu carta, Felda United, mengesahkan laluan ke suku akhir menerusi kutipan 10 mata walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Felda menewaskan skuad tercorot, PDRM FA, 2-0 dalam aksi berasingan di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka selepas meraih gol hasil sumbangan Thiago Fernandes dan Gilberto Fortunato.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan D, pasukan yang sudah tersingkir, Selangor, mengutip kemenangan pertama di Stadium Darulmakmur setelah menewaskan Pahang 3-1 hasil jaringan Rufino Segovia, Willian Pacheco dan K. Sarkunan sementara gol tunggal tuan rumah dihasilkan oleh Safuwan Baharudin.


Kredit foto: Facebook PKNS FC
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog