Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Jumaat, 27 Julai 2018

Menang dulu, yang lain belakang cerita

Menang dulu, yang lain belakang cerita






"Harap Felcra FC dan MIFA kalah? Itu perkara kedua, kita perlu menang dulu," kata ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating, ketika diminta mengulas mengenai peluang pasukannya dalam aksi terakhir Liga Perdana, malam esok.


Sabah, yang masih memiliki sedikit peluang untuk merebut slot ke Liga Super, bakal bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam bertemu PDRM dan sekiranya keputusan memihak mereka, pintu ke liga utama itu kembali terbuka luas, itupun sekiranya Felcra FC dan MISC-MIFA kecundang kepada lawan masing-masing.


"Kami akui laluan agak sukar, namun dalam bola sepak tiada yang mustahil tetapi apa yang lebih penting bagi saya ialah menamatkan kempen Liga Perdana 2018 ini dengan kemenangan. Layak atau tidak (ke Liga Super), itu perkara kedua.


"Sudah tentu penyokong sangat mengharapkan kami berjaya merebut tempat ke Liga Super tetapi saya berkata demikian kerana kami lihat kedudukan kami yang agak sukar, peluang Felcra serta MIFA lebih baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Jelius berkata beliau kemungkinan besar akan mengekalkan kesebelasan utamanya ketika membenam Felcra FC 3-0 di Stadium Likas, Ahad lalu, kecuali penjaga gol, Robson Randy Rining, yang akan menggantikan Rozaimie Rohim.


"Saya mahu memasukkan Randy kerana dia telah lama tidak beraksi, bukan kerana Rozaimie tidak bagus tetapi kami mahu kedua-dua penjaga gol bersiap sedia untuk menghadapi Piala Malaysia nanti," katanya.


Randy dijangka akan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde serta dua pemain muda, Randy Baruh dan Evan Wensley Wenceslaus.


Sabri Sahar pula dijangka sekali lagi mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Hamran Peter manakala Hector Omar Ramos serta Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan bagi Sabah.


Sementara itu, selain aksi Sabah bertemu PDRM, dua lagi perlawanan membabitkan Felcra FC menentang Sarawak di Stadium Shah Alam serta pertemuan MISC-MIFA dengan Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bakal menentukan pasukan mana akan mengiringi Felda United ke Liga Super, musim depan.


Felcra FC, yang kini di kedudukan kedua dengan 31 mata, perlu mencatat kemenangan bagi menjamin tempat ke Liga Super dan sekiranya mereka sekadar seri atau kalah, MISC-MIFA yang berada di kedudukan ketiga dengan 29 mata boleh memintas sekiranya berjaya membenam TFC II.


Bagaimanapun, dua pasukan itu dijangka tidak diberi laluan mudah oleh Sarawak dan TFC II kerana dua pasukan berkenaan juga masing-masing perlu mencatat kemenangan bagi mengintai peluang untuk terus kekal dalam Liga Perdana.


Dalam pada itu, sekiranya Felcra FC dan MISC-MIFA kecundang malam esok, Sabah yang kini di kedudukan keempat dengan 28 mata boleh memintas MISC-MIFA serta menyamai mata dikumpul Felcra FC.




Sekiranya ia berlaku, pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu bakal menyelit untuk layak ke Liga Super kerana perbezaan jaringan antara tiga pasukan berkenaan lebih memihak kepada Sabah ketika ini.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog