Sumareh tak kecewa diketepikan Cheng Hoe
KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh mengakui tidak kecewa dengan keputusan jurulatih Tan Cheng Hoe yang masih belum memberi peluang untuknya beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
Nama pemain import Pahang kelahiran Gambia itu tiada dalam senarai 24 pemain yang dipanggil bagi sesi latihan pusat dan perlawanan antarabangsa bertemu Taiwan di Taipei City pada 7 September dan Kemboja di Phnom Penh (10 September) sebagai persiapan ke Piala AFF.
Ramai pihak beranggapan Cheng Hoe bakal menguji Sumareh yang sudah mendapat kerakyatan negara ini pada April lalu selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia membuka pintu kepada pemain naturalisasi menyarung jersi kebangsaan.
Bagaimanapun bagi Sumareh, dia tidak terlalu memikirkan mengenai keputusan Cheng Hoe itu sebaliknya hanya fokus membantu skuad Tok Gajah dalam kempen Piala Malaysia.
"Saya tidak kecewa tak dipanggil. Saya menghormati keputusannya, sudah pasti beliau ada alasan tersendiri. Saya tidak menunggu untuk dipanggil dan memikirkan perkara ini kerana apa yang penting, saya mahu terus bermain membantu Pahang dalam saingan Piala Malaysia.
"Saya juga tidak tahu status sebenar saya untuk bermain bersama skuad kebangsaan kerana tidak pernah dihubungi FAM atau jurulatih Tan Cheng Hoe sebelum ini, jadi saya tidak boleh memberi komen. Apa yang saya tahu hanya daripada laporan media dan komen penyokong di media sosial," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.
Daripada senarai pemain dikeluarkan, 16 pemain daripada skuad ketika menewaskan Fiji 1-0 di Cheras pada 5 Julai lalu dikekalkan dengan lapan muka baru dipanggil termasuk Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Farizal Marlias (Johor Darul Ta'zim), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Akhyar Rashid (Kedah) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan).
Bagaimanapun Sumareh masih boleh mengintai peluang untuk merebut tempat skuad Piala AFF kerana Selepas Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya akan bertemu Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil (3 November) dalam aksi persahabatan.
"Biar saya dipanggil atas prestasi bukan hanya semata-mata status saya sebagai pemain naturalisasi. Jadi saya hanya perlu fokus untuk meningkatkan prestasi bersama Pahang dan biar mereka yang menilai sama ada saya layak atau tidak," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan