Azam mengharapkan prestasi meyakinkan dapat diterjemahkan skuad Tok Gajah. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
Pahang mahu bolot semua trofi
KUANTAN: Bukan sahaja Piala FA yang akan dipertahankan, malah kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia menjadi buruan skuad Pahang dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemain tengah pasukan itu, Nor Azam Azih mengakui ia bukan tugas mudah tetapi dengan mengekalkan barisan pemain tempatan sedia ada, dia mengharapkan prestasi meyakinkan dapat diterjemahkan skuad Tok Gajah.
"Kami tidak hanya akan mempertahankan Piala FA, dua lagi piala berprestij iaitu Liga Super dan Piala Malaysia turut menjadi misi skuad Pahang untuk dijulang.
"Malah, saya yakin tiada yang mustahil untuk merealisasikan misi itu kerana kami beraksi dengan baik musim ini hingga mencapai sasaran mengucup satu piala.
"Justeru, keserasian dan persefahaman yang dipersembahkan akan dipertingkatkan untuk meletakkan skuad Tok Gajah berada pada prestasi terbaik.
"Saya percaya dengan kemasukan pemain import baharu juga akan membantu memperkasakan pasukan," katanya.
Nor Azam yang menyarung jersi Pahang sejak 2016 berkata, dia akan mempamerkan prestasi lebih baik untuk mengekalkan kedudukan dalam kesebelasan utama.
Katanya, pengalaman yang dimiliki bersama Pahang termasuk skuad kebangsaan banyak membantu meningkatkan kualiti permainannya.
"Saya percaya pencapaian lebih baik mampu diraih berdasarkan sokongan pengurusan, jurulatih dan penyokong," kata pemain berumur 23 tahun itu.- bharian
0 comments:
Catat Ulasan