Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Rabu, 2 Januari 2019

Gaji siling matikan semangat pemain – FAM


TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Khairunisah Lokman

Gaji siling matikan semangat pemain – FAM




KUALA LUMPUR: Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung tak berselerak!



Itu perumpamaan yang boleh disamakan dengan pendirian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung cadangan penetapan gaji siling dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dibangkitkan beberapa pihak bagi menangani isu gaji tertunggak yang dilihat makin parah ketika ini.



Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, cadangan itu baginya adalah 'buah fikiran' yang cukup baik untuk menghalang pasukan daripada berbelanja mengikut 'nafsu' tanpa mengukur 'baju di badan sendiri'.




Begitupun, beliau beranggapan kaedah gaji siling bukanlah jawapan tepat untuk menangani isu gaji tertunggak kerana ia boleh merencatkan perkembangan dan motivasi pemain yang akan berusaha gigih mempertingkatkan persembahan seiring dengan gaji lumayan yang diterimanya.



"Saya faham dan saya juga bimbang dengan senario bola sepak kita. Ada saja pasukan gagal membayar gaji dan ada juga yang terpaksa tutup pasukan, gara-gara masalah kewangan, di mana perbelanjaan operasi lebih tinggi daripada dana yang diperoleh.



"Tapi nak wujudkannya (gaji siling) pun tak boleh sebab ia akan mematikan semangat dan motivasi pemain. Sudah tentu bila gaji kita tinggi, pemain akan bermain bersungguh-sungguh sekali gus dapat hasilkan persaingan sihat antara pemain yang akhirnya akan membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mantap.



"Sebab itu, kita (FAM) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan menggunakan konsep La Liga di sini (Liga-M). Maknanya, selepas ini semua pasukan perlu berbelanja mengikut kemampuan pasukan dan jika ada pasukan yang cuba membeli di luar kemampuan kita akan hukum atau denda pasukan berkenaan," katanya kepada Sukan NSTP, semalam.



Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mendedahkan pihaknya sudah memiliki formula untuk mengatasi isu gaji tertunggak yang menjadi punca penarikan diri beberapa pasukan dengan menggunakan konsep La Liga yang dijangka dikuatkuasakan bermula musim 2020 atau 2021.



Antara perubahan besar yang dijangka berlaku bagi meningkatkan kualiti liga tempatan membabitkan perjalanan liga, pengurusan kelab, pelesenan kelab, pengurusan komersial dan tatacara pengurusan kewangan termasuk soal jual beli pemain.



Berdasarkan rujukan di laman web rasmi La Liga, peraturan artikel 38 menyebut semua pasukan harus menyediakan perbelanjaan awal semusim dan ia akan diputuskan oleh badan pentadbir La Liga sebelum diluluskan, dengan kelab perlu berbelanja mengikut had kewangan yang ditetapkan.



Perbelanjaan termasuk penyediaan skuad utama, skuad simpanan, pembangunan akademi dan skuad lain yang berada di bawah naungan kelab.



"Saya yakin apabila liga kita berubah nanti, kita tidak akan lagi mendengar isu tunggakan gaji dan penarikan diri pasukan. Perkara paling penting, kita mahu nilai komersial liga tempatan melonjak dengan semua pasukan akan meraih 'laba' cukup lumayan nanti.



"Sekarang semua pasukan Liga Super menerima RM3 juta hasil hak siaran langsung. Kita harap pada musim mendatang, jumlah itu akan meningkat ke RM6 juta hingga RM8 juta. Apapun, kita kena bersabar dan beri kerjasama sepenuhnya kepada MFL untuk mengubah wajah liga kita," katanya.- bharian
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog