PEMAIN Liverpool, James Milner (kiri) diasak pemain Manchester City, Leroy Sane pada aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, sebentar tadi. - Foto EPA
City beri Liverpool kekalahan pertama liga
MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City memberikan Liverpool kekalahan pertama dalam Liga Perdana musim ini, untuk menghidupkan peluang mempertahankan gelaran selepas kejayaan 2-1 di Etihad, sebentar tadi.
City kini mengejar skuad kendalian Jurgen Klopp dengan hanya perbezaan empat mata, hasil jaringan kemenangan Leroy Sane, 18 minit sebelum tamat perlawanan, selepas Roberto Firmino menyamakan jaringan Sergio Aguero pada babak pertama buat tuan rumah.
Aguero membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-40, sebelum Firmino mengikat kedudukan pada minit ke-64, namun Sane muncul wira City apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-72.
Sembilan kemenangan berturut-turut memberikan Liverpool kelebihan di persada liga ketika mereka bersedia menghampiri gelaran pertama sejak 1989/90, terutama selepas City mengalami kekalahan berturut-turut di tangan Crystal Palace dan Leicester sebelum memulakan musim perayaan.
PEMAIN Manchester City, Sergio Aguero (kiri) diasak pemain Liverpool, Dejan Lovren pada aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, sebentar tadi. - Foto AFP
Dengan kedua-dua pasukan tidak akan bertemu lagi dalam saingan liga, kini nasib Liverpool masih bergantung kepada mereka sendiri, tetapi mereka kini berdepan tekanan City yang mencipta gelaran dengan rekod 100 mata musim lalu.
Pada pertembungan pertama musim ini, kedua-dua pasukan terikat di Anfield.
Jurgen Klopp sudah menjangkakan bakal dilanda “ribut” pada permulaan aksi daripada pasukan juara itu, untuk menyamai pertembungan suku akhir Liga Juara-Juara antara kedua-dua pasukan musim lalu, apabila City mendahului sebelum Liverpool bangkit untuk menang 2-1 dan 5-1 secara agregat.
Bagaimanapun, di sebalik dominasi City pada pertembungan tadi, Liverpool tampak lebih menyerlah pada babak permulaan.
Dan Liverpool tidak bernasib baik untuk mendahului pada minit ke-19, apabila Sadio Mane menyambar hantaran Mohamed Salah, namun sepakannya terkena palang.
Liverpool masih kekal di puncak liga dengan meraih 54 mata selepas mengharungi 21 perlawanan, City di tangga kedua (50 mata) diikuti Spurs (48 mata) - AFP
0 comments:
Catat Ulasan