Benarkah Ronaldinho percuma sedangkan bayaran pertunjukkannya RM4.1 juta?
Baca juga:Bolehkah Ronaldinho tinggal di Ipoh?
KUALA LUMPUR: “Sedangkan untuk aksi pertunjukan dan promosi selama tiga hari, Ronaldinho dibayar sehingga AS$1 juta (RM4.1 juta), apatah lagi bayaran untuk aksi kompetitif selama semusim,” kata Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah.
Effendi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk membawa bekas pemain terbaik dunia itu menyertai pasukan The Bos Gaurus di pentas kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL) pada Februari depan.
Katanya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan jika mereka serius untuk melengkapkan perpindahan bekas bintang dunia berkenaan terutamanya dari segi faktor kewangan dan kemampuan pasukan itu sendiri.
“Ronaldinho adalah bekas pemain profesional dan walaupun pernah menyatakan kesediaan untuk beraksi secara percuma, saya kira pelawaannya adalah untuk tujuan promosi sahaja dan bukannya untuk aksi kompetitif.
“Kita juga harus mengambil kira kerana Ronaldinho tidak lagi kompetitif kerana sudah lama bersara, jadi mungkin tidak mampu memberikan prestasi sama seperti zaman kegemilangannya.
“Bukan ingin merendahkan kemampuan pasukan Perak, namun harus diingat, Ronaldinho adalah pemain yang dikelilingi pemain berkelas dunia dan dikhuatiri dia akan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan pasukan itu nanti.
“Saya setuju dengan pendapat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung perkara ini yang menyatakan Ronaldinho tidak boleh hidup di Ipoh.
Apapun, PAFA perlu jelas sama ada cadangan itu adalah semata-mata untuk pemasaran ataupun memperkuat pasukan untuk aksi kompetitif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai situasi itu, Effendi mengakui pasukan Liga Malaysia (Liga M) masih belum bersedia untuk mendapatkan pemain mempunyai nama besar seperti yang sudah dilakukan di Liga Jepun dan Liga Indonesia.
Bagaimanapun, beberapa kategori yang diletakkan bagi kelompok pemain ini iaitu Kelas A, B dan C masih memberi peluang seandainya mereka tetap berminat mendapatkan pemain mempunyai reputasi tinggi.
“Kelas A adalah pemain yang pernah beraksi di kelab ternama dunia contohnya seperti Ronaldinho sementara Kelas B adalah pemain yang beraksi di liga utama, namun bukanlah bersama pasukan yang ternama.
“Kelas C pula membabitkan pemain daripada liga ternama di sesetengah benua contohnya Liga Jepun atau Liga Korea. Saya berpendapat untuk pemain Kelas B ataupun C, pasukan Liga M mampu untuk mendapatkan khidmat mereka,” katanya.- BHarian
0 comments:
Catat Ulasan