MOHAMADOU Sumareh perlu menunggu sehingga 2023
KUALA LUMPUR: Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh perlu menunggu sehingga 2023 sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M).
Meskipun sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya namun pemain kelahiran Gambia itu masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Mengesahkan perkara terbabit, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.
"Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.
"Apapun, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan mengenainya.
"Namun, buat masa ini tiada permintaan untuk kita mengkaji semula kriteria dan peraturan yang sudah ditetapkan. Setakat ini, kita belum mengubah kriterianya dimana pemain perlu memegang kerakyatan selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala Cabaran 2018 yang berlangsung di sini, hari ini.
Sebelum ini, status Sumareh yang didaftarkan sebagai pemain import Pahang pada musim ini menimbulkan tanda tanya selepas dia sudah menjadi rakyat negara ini.
Pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.
Dia juga sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.
Mengulas lanjut mengenai kriteria membabitkan pendaftaran pemain naturalisasi, Kevin menjelaskan situasi itu berbeza jika dibandingkan dengan pemain berdarah kacukan yang boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.
"Keputusan lembaga MFL sebelum ini adalah membenarkan pemain berdarah kacukan dan selepas kita mengambil tindakan ini, mungkin hanya 50 ke 100 pemain berdarah kacukan yang ada kaitan dengan negara ini.
"Namun jika kita buka kepada pemain yang tiada hubungan langsung dengan negara ini, ia boleh jadi begitu besar dan tidak terkawal. Jadi kita perlu mengambil tindakan sebegini untuk memastikan masa depan pemain tempatan terjaga," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan