Piala Malaysia sentiasa sukar
IPOH: Jurulatih Mehmet Durakovic tidak menganggap kedudukan serta peluang Perak yang diundi berada di dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia 2018 bermula Sabtu ini sebagai satu laluan mudah.
Sebaliknya, jurulatih berpengalaman yang pernah mengemudi Selangor muncul juara piala berprestij itu tiga tahun berturut-turut pada 1995, 1996 dan 1997 cukup sedar aura Piala Malaysia memang berbeza dengan saingan liga.
"Piala Malaysia mempunyai aura tersendiri. Setiap pasukan yang layak bertanding dalam piala ini dengan sendirinya akan berubah terutama daripada segi semangat.
"Mereka menjalani satu transformasi dan beraksi dengan semangat juang baharu," katanya.
Baginya, walaupun Perak turun dengan reputasi selaku naib juara Liga Super 2018, beliau tidak menganggapnya sebagai satu kelebihan.
"Piala Malaysia bukan seperti liga yang hanya ada enam perlawanan pusingan awal.
"Setiap perlawanan adalah penting dan sesebuah pasukan perlu mengutip mata sebanyak mungkin jika ingin mara.
"Perak tiada kelebihan kerana kami juga mempunyai pencabar handalan seperti Terengganu dan Kuala Lumpur, selain Felcra FC yang juga naib juara Liga Perdana," katanya.
Untuk saingan kali ini, Perak akan membuka kempen bertemu Felcra FC yang dibarisi oleh bekas kaptennya, Mohd Shahrom Kalam.
"Tiada jalan mudah buat pemain saya dan mereka perlu bekerja keras serta sentiasa berada dalam keadaan bersedia," katanya.
Namun, jurulatih itu yakin dengan kemampuan anak buahnya yang menunjukkan perwatakan mantap sepanjang kempen liga untuk muncul naib juara 2018 sekaligus layak ke pusingan kelayakan Liga Juara Asia (ACL).
"Mereka layak untuk meraikannya kerana berusaha gigih untuk merealisasi impian ini. Pemain Perak membuktikan mereka adalah pasukan kedua terbaik di Malaysia.
"Kini saya harap mereka buktikan kemampuan sebenar untuk menutup mulut pengkritik," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan