Tiada rayuan daripada Pahang: MFL
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) masih belum mengemukakan rayuan berkenaan status pemain naturalisasinya, Mohamadou Sumareh.
Sukan NSTP semalam melaporkan, PBNP menjelaskan pihaknya sudah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL bagi membolehkan Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan sejurus pemain Gambia itu diberi taraf kerakyatan Malaysia, April lalu.
Namun Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam ketika dihubungi hari ini menjelaskan, dokumen yang dihantar PBNP sebelum ini hanya permohonan untuk Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dan bukannya rayuan.
"Permohonan awal Pahang sebelum ini sudah ditolak berdasarkan peraturan sedia. Jadi kalau nak kata semasa (Sumareh) dapat kad pengenalan dulu sudah buat rayuan, mana ada, itu hanya permohonan," kata Kevin.
"Setahu saya, selepas keputusan (penolakan permohonan) itu, tiada apa-apa (rayuan) daripada Pahang dan rayuan perlu dibuat berdasarkan keputusan permohonan sebelum ini."
Sebelum ini Kevin menjelaskan berdasarkan peraturan Liga M, pemain yang bukan berdarah campuran perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.
Mengulas lanjut, Kevin berkata Lembaga Pengarah MFL hanya boleh mempertimbangkan permintaan PBNP jika ada rayuan daripada persatuan negeri itu.
"Kami sudah menjawab permohonan awal PBNP sebelum ini dan ia mengikut peraturan yang sudah dibuat dua tahun lalu. Kalau pertimbangan mahu diberikan semula, kena ada rayuan.
"Contohnya mereka boleh kemukakan sesuatu (dokumen) yang boleh menyokong kenapa (Sumareh) tidak perlu tunggu hingga lima tahun dan kami tidak pernah melarang sesiapa untuk membuat rayuan," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan