Peminat diminta sokong 100% Tambadau Sabah
SKUAD Tambadau Sabah diperkenalkan kepada penyokong di Sportmart Suria, Kota Kinabalu pada Rabu.
Ketua jurulatih Tambadau Sabah, Jelius Ating mengajak penyokong terus bersatu menyokong pasukan memburu kejayaan dalam Liga Malaysia musim ini.
"Tidak kira apapun maskot...maskot berubah-ubah adalah perkara biasa. Kita masih pasukan Sabah dan logo Sabah itu tidak akan berubah.
"Kalau mahu melihat pasukan kita terus berjaya kita mesti bersatu, datang beramai-ramai menyokong pasukan kita dengan satu hati. Kejayaan pasukan adalah kejayaan kita bersama, kegagalan pasukan kita adalah kekalahan Sabah.
"Harapan saya kepada penyokong yang ada di Sabah mahu pun di luar...di Semenanjung, datanglah untuk terus menyokong pasukan kita. Semoga dengan semangat satu hati penyokong, pasukan kita akan berjaya dan mencapai prestasi yang lebih baik," kata Jelius.
Baca juga: Tambadau atau Badak, yang penting mainan MantapBeliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Bertemu Penyokong di Sportmart Ararat Sports And Souvenirs, Suria di sini pagi tadi.
Ararat adalah penaja rasmi pakaian jenama Carino pasukan Liga Malaysia Sabah.
Pengurus pasukan, Henry Saimpon berkata, majlis itu bertujuan merapatkan lagi pasukan dengan penyokong serta memperkenalkan jersi Carino yan akan digunakan pasukan.
"Bagi pihak pengurusan, saya berterima kasih terutama Ben Wong selaku Pengarah Urusan Ararat Sports And Souvenirs kerana terus menjadi penaja utama jersi Carino untuk pasukan.
"Terima kasih juga kepada penyokong setia yang datang memberi sokongan dan saya harap pada perlawanan sulung 2 Februari nanti datanglah beramai-ramai, sokong pasukan negeri Sabah menentang JDT II (Johor Darul Ta'zim II).
"Pasukan memerlukan sokongan padu penyokong," kata Henry.
Sambil itu, ketua pasukan Rawilson Batuil berkata, beliau dan rakan-rakan sudah bersedia menghadapi perlawanan sulung Sabtu ini.
PENYOKONG bergambar besama pemain import baru Sabah, Park Taesu dan Luka Milunovic.
"Kami bertekad memenangi perlawanan pertama itu sebagai pembakar semangat menghadapi perlawanan seterusnya. Suasana dalam pasukan sekarang juga sangat baik dan bersemangat untuk memulakan kempen musim ini," katanya.
Penyerang import, Rodoljub Paunovic juga tidak sabar mengharungi perlawanan sulung seterusnya membantu pasukan mencatat pencapaian lebih baik musim ini.
Beliau yakin jentera serangan Tambadau Sabah akan lebih mantap di mana gandingan barunya, Luka Milunovic adalah pemain yang baik.
"Saya yakin kami dapat membentuk gandingan mantap terutama kami adalah senegara (Serbia). Kami akan saling membantu untuk memastikan Sabah mencatat pencapaian lebih baik musim ini dan naik ke Liga Super musim depan," katanya.
Turut diperkenalkan pada majlis itu adalah pasukan Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan Piala Belia (bawah 19 tahun).
oleh VITALIS G. BINGKASAN
Sumber: Utusanborneo
0 comments:
Catat Ulasan