Era baru La Liga tanpa CR7
MADRID: Musim bola sepak Sepanyol bermula hujung minggu ini dengan La Liga memasuki era baru berikutan pemergian Cristiano Ronaldo dan Andres Iniesta ketika Atletico Madrid mampu memberi ancaman besar terhadap dua kelab gergasi.
Keunggulan Sepanyol di pentas Eropah terbukti dengan kejayaan Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Mei lalu manakala Atletico menjuarai Liga Europa dan Barcelona pula menang satu lagi kejuaraan domestik berganda.
Namun banyak sudah berubah sejak itu dengan Ronaldo berpindah ke Juventus selepas 450 gol selama sembilan tahun meninggalkan kekosongan di Real, yang turut menyaksikan Zinedine Zidane meletakkan jawatan sebagai jurulatih.
Selepas 15 tahun yang cemerlang di Nou Camp, Iniesta berpindah ke Jepun, sekalipun Barcelona sekurang-kurangnya masih mempunyai Lionel Messi.
Bagaimanapun, ketika Real dan Barcelona menang lima kejuaraan Liga Juara-Juara terakhir antara mereka, tidak satu pasukan pun kelihatan lebih kuat seperti tahun-tahun terakhir.
Julen Lopetegui jurulatih baru di Bernabeu, pengumuman mengenai pelantikannya mencetus pemecatannya sebagai jurulatih Sepanyol sebelum Piala Dunia bermula.
Lopetegui perlu pantas membuktikan beliau boleh menyamai tahap dilakar Zidane dalam Liga Juara-Juara selain memastikan Real pencabar dalam La Liga, yang hanya dimenangi mereka dua kali sejak sedekad lalu.
Anak buah barunya tewas 2-4 selepas masa tambahan kepada Atletico pada aksi Piala Super Eropah awal pagi tadi, namun kapten Sergio Ramos menegaskan Real boleh menangani kehidupan tanpa Ronaldo.
“Sepanjang sejarah, pemain bintang datang dan pergi dan Real terus mencipta kemenangan. Keputusan dilakukan untuk menempuh fasa baru dan saya harap semuanya baik buat kami dan buatnya,” katanya.
Presiden Florentino Perez berharap Gareth Bale dan Karim Benzema kini boleh diharapkan, manakala Luka Modric kekal dan menjadi calon bagi anugerah Ballon d’Or selepas kecemerlangannya bersama Croatia pada Piala Dunia.
Messi kini kapten Barcelona yang menang tujuh kejuaraan dalam 10 musim terakhir dan memulakan kempen musim ini dengan mengalahkan Sevilla 2-1 untuk menjulang Piala Super Sepanyol.
Kelab gergasi Catalunya itu mengukuhkan skuadnya dengan pembelian dua pemain Brazil, Arthur dan Malcom, pertahanan Perancis, Clement Lenglet serta pemain tengah Chile, Arturo Vidal.
“Tahun lalu kami menang liga dan piala, tapi Liga Juara-Juara amat mengecewakan kami, terutamanya cara bagaimana kami disingkir,” kata Messi. - AFP
0 comments:
Catat Ulasan