TIEMOUE Bakayoko tinggalkan Chelsea
Pemain Perancis, Tiemoue Bakayoko menyertai AC Milan secara pinjaman, umum kelab Serie A itu hari ini sekali gus mengakhiri kekecewaan pemain tengah itu di Chelsea.
Milan menandatangani pemain berusia 23 tahun itu dengan nilai dilaporkan 5 juta euro (RM23.30 juta) dengan pilihan untuk pembelian bersama nilai 35 juta euro (RM163.09 juta) pada musim panas depan.
Bakayoko meninggalkan Chelsea selepas membuat 29 penampilan dalam kempen Liga Perdana Inggeris tetapi gagal membuktikan keupayaannya dengan kelab London itu yang mengeluarkan belanja £40 juta (RM208.73 juta) ketika mendapatkan khidmatnya dari Monaco, musim panas lalu.
Dia langsung tidak disenaraikan oleh jurulatih baru, Maurizio Sarri pada perlawanan pembuka tirai menentang Huddersfield, Sabtu lalu dengan penggantinya, Jorginho meledak gol dalam kemenangan selesa 3-0.
Milan berharap Bakayoko akan membantu mereka merampas kembali takhta teratas Liga Itali selepas beberapa tahun mengharungi masalah di dalam dan luar padang.
Musim lalu, Milan menamatkan kempen Serie A di tangga keenam sekali pun membelanjakan sekitar 200 juta euro (RM931.74 juta) untuk membeli pemain baru menerusi dana yang dijana konsortium China yang membeli kelab itu daripada bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi pada April 2017.
Tindakan itu menyaksikan Milan melanggar peraturan fair play Kesatuan Bolasepak Eropah sekali gus dikeluarkan daripada saingan Liga Europa musim ini.
Begitupun, sejak syarikat perlindungan pelaburan Elliot Management mengambil alih semula kelab pada bulan lalu berikutan kegagalan pembayaran daripada pemilik terdahulu, juara Eropah tujuh kali itu diterima semula dalam kancah Eropah dan berusaha untuk membina skuad dan semangat pasukan. - AFP
0 comments:
Catat Ulasan