Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Jumaat, 17 Ogos 2018

Korea akhirnya tumbang selepas 44 tahun



Korea akhirnya tumbang selepas 44 tahun





KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak negara membuktikan tiada apa yang mustahil apabila membuat kejutan terbesar pada Sukan Asia Jakarta-Palembang apabila berjaya mengejutkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan E, sebentar tadi.



Penyerang negara, Muhammad Safawi Rasid muncul wira apabila meledak kedua-dua gol dalam aksi di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu yang turut menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama 44 tahun di tangan Korea Selatan dalam temasya terbesar Asia itu.



PENYERANG Malaysia, Muhammad Akhyar Rashid (kanan) dikekang pemain Korea Selatan, Kim Minjae, sebentar tadi. - Foto BERNAMA





Kali terakhir skuad negara menewaskan lawan itu pada temasya Tehran 1974 di mana skuad dibarisi legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari menang 3-2 pada pusingan kedua sebelum menamatkan aksi dengan meraih pingat gangsa.




Bagaimanapun, dalam aksi sebentar tadi, Datuk Ong Kim Swee hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama ketika menewaskan Kyrgyzstan 3-1 Rabu lalu apabila menggantikan Nik Akif Syahiran Nik Mat dengan Muhammad Syahmi Safari Abdul Rashid bagi menguatkan bahagian tengah.



Percaturan pengendali Korea Selatan, Kim Hag Bum yang merehatkan penjaga gol Piala Dunia, Woo Jo Hyeon memakan diri apabila penjaga gol kedua, Song Bum Keun menghadiahkan gol pertama kepada skuad negara.



Ia susulan kesilapan Bum Keun yang gagal menangkap kemas bola selepas bertembung dengan rakan sepasukan yang kemudiannya berjaya dihidu Safawi untuk menolak masuk ke gawang yang sudah ternganga seawal minit kelima.



Korea Selatan yang hadir dengan reputasi hebat tidak berputus asa apabila cuba bangkit memburu gol penyamaan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu Malaysia.



Hwang Ui Jo berpeluang mengikat kedudukan pada minit ke-18 selepas menerima hantaran cantik Hwang Hee Chan namun rembatan kaki kanannya sedikit melambung ketika Haziq Nadzli sudah pun tertewas.



Jaguh Asia itu terus meningkatkan tekanan dengan kali ini gerakan satu dua antara Hee Chan dan Lee Si Young pada minit ke-33 berjaya dihalang Haziq yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.



Ketika skuad Taeguk Warriors rancak menyerang, anak buah Kim Swee menambah gol kedua sekali lagi menerusi Safawi yang berjaya memperdaya pertahanan lawan sebelum melepaskan sepakan tonjol pada hujung aksi babak pertama.



Bersambung separuh masa kedua, Hag Bum membuat dua pertukaran dengan antaranya memasukkan bintang Tottenham Hotspur, Son Heung Min bagi menambah sengat di jentera depan mereka.



Ternyata kemasukan Heung Min mengubah corak persembahan mereka dan biarpun Ui Jo berjaya merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-87, ia tidak mampu menghalang Malaysia untuk meraih kemenangan kedua sekali gus mara ke pusingan kedua.



Selepas ini skuad negara akan melengkapkan jadual dengan menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang Isnin ini, manakala Korea Selatan bertemu Kyrgyzstan.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog