Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Sabtu, 27 Oktober 2018

Kenapa Perak jadi pilihan juara?


PEMAIN Perak.

Kenapa Perak jadi pilihan juara?


KUALA LUMPUR: Final Piala Malaysia 2018 membabitkan Terengganu FC dan Perak sememangnya satu pertembungan yang agak menarik apabila menemukan dua pasukan yang dilihat sudah bangkit daripada lena yang panjang.



Selepas beberapa edisi sebelum ini, mungkin edisi kali ini menyajikan aksi penentuan yang ‘sebenar’ memandangkan tiada pasukan yang boleh dianggap pilihan apabila kedua-dua finalis ini memiliki kekuatan setara.



Kalau dalam dunia akademik, mungkin ada yang sudah berpuas hati jika mendapat tempat kedua namun dalam bola sepak, nombor dua atau naib juara bukanlah satu idaman malah ia cuma ‘bahasa lembut’ untuk menenangkan hati mereka yang tewas di perlawanan akhir.




Begitu juga buat Perak, sudah tentu gelaran naib juara bukan sesuatu yang diimpikan apatah lagi selepas kali terakhir mendakap trofi berprestij itu 18 tahun lalu.



Kita tidak perlu hairan mengapa Perak mampu ke final kali ini kerana berdasarkan statistik, mereka hanya dibolosi sembilan gol dalam 10 perlawanan.



Tujuh daripada sembilan gol itu direkodkan pada aksi peringkat kumpulan sekali gus menyaksikan Perak berjaya membina benteng pertahanan kukuh menjelang aksi kalah mati.



Aspek ini akan memainkan peranan penting buat Perak memandangkan Terengganu memiliki jentera serangan yang begitu gagah dengan aksi kurang kemas pasti dapat menghukum Perak.



Perak juga ada kelebihan apabila berdepan laluan yang jauh berbeza berbanding Terengganu, jadi mereka tidak begitu berhempas-pulas untuk ke final dan dapat menyimpan tenaga secukupnya untuk ‘dilepaskan’ pada perlawanan akhir nanti.



Aspek psikologi dan peperangan mental juga berpihak kepada Perak kerana mereka memiliki Mehmet Durakovic yang dilabel sebagai ‘Pakar Piala Malaysia’.



Dengan empat kejayaan bersama Selangor yang mana tiga sebagai pemain dan satu sebagai jurulatih, sudah tentu aura Durakovic memberi sedikit kemenangan psikologi buat anak buahnya.



Inilah masanya Durakovic membuktikan betapa beliau layak bergelar ‘Pakar Piala Malaysia’ dengan taktikal yang mampu menjerat anak buah Irfan Bakti Abu Salim, malam ini.



Apa pun, pada pandangan penulis, Perak tetap memiliki kekuatan untuk mencabar Terengganu bagi memastikan bukan hanya setakat menangis di Rantau Abang tetapi Penyu juga boleh menangis di Stadium Shah Alam.



Sebelum terlupa, ada satu lagi sebab mengapa penulis memilih Perak untuk merangkul piala tertua di Malaysia ini buat kali kelapan.



Dengan negeri kelahiran penulis yang meraih kejuaraan terbanyak sudah tersingkir seawal peringkat kumpulan, mungkin ini masa yang tepat buat penulis ‘meminjamkan’ sokongan padu kepada keluarga bakal mentua di Teluk Intan pula.



Akhir kata, Don’t Mess With The Yobs!
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog