AKSI pemain Malaysia, Dominic Tan ketika perlawanan menentang pasukan Laos pada aksi pusingan pertama kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 Thailand 2020 di Stadium Shah Alam. - Foto Sairien Nafis
Gol 'Puluk' Safawi beri kemenangan tipis Malaysia
Jaringan Safawi Rasid memastikan skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) terus memberi tekanan kepada China selepas jaringan tunggalnya membolehkan Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Laos pada aksi kedua Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Namun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah memandangkan Laos memberikan tentangan sengit ke atas skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu apabila mereka memperagakan aksi lebih bertenaga selepas dibelasah 5-0 oleh China pada aksi pertama, kelmarin.
Lima pertukaran dilakukan dalam kesebelasan utama menentang Laos, namun kepantasan Laos menutup ruang membuatkan Malaysia bergelut untuk mendapatkan gol. Memasuki minit ketujuh, Nik Azli Nik Alias dijatuhkan di dalam kotak penalti namun malang berganda buat Malaysia apabila bukan sahaja tidak diberikan penalti namun pengadil, Masoud Tufayelieh melayangkan kad kuning kepada penyerang muda itu kerana dikatakan merebahkan badan dengan sengaja.
Lima minit berselang, Malaysia beroleh peluang terbaik hasil gerakan di bahagian sayap kanan menerusi hantaran Nik Azli kepada Akhyar Rashid yang berada di dalam kotak penalti namun percubaannya tersasar. Bagaimanapun, palang menyelamatkan pintu gol Malaysia apabila kesilapan pertahanan membuka peluang kepada Vannasone Douangmaity untuk melakukan percubaan yang sekadar menggegar palang pada minit ke-35.
Malaysia mensia-siakan peluang untuk menuju ke masa rehat dengan satu gol apabila tampanan Faisal Abdul Halim tersasar meskipun gawang gol terbuka luas selepas penjaga gol Laos, Xaysavath pantas meluru keluar untuk menafikan percubaan Faisal di penghujung babak pertama. Bersambung babak kedua, pertukaran berganda dilakukan pengendali Datuk Ong Kim Swee pada minit ke-54 apabila mengeluarkan Faisal dan Nik Azli bagi memasukkan Safawi serta Jafri Firdaus Chew untuk memperkemas jentera serangan.
Kemasukan Safawi sedikit mengubah rentak permainan Malaysia dan kemuncaknya apabila pemain itu meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma yang terkena palang tetapi masuk ke dalam gawang selepas terkena belakang penjaga go ketika perlawanan berbaki lapan minit. Selepas ini, Malaysia akan membuat perhitungan dengan China untuk merebut juara kumpulan J di venue sama, Selasa ini dengan juara kumpulan akan mendapat slot automatik ke Thailand, tahun depan.
0 comments:
Catat Ulasan