Kunjungan berbaloi, Sabah di landasan baik
JELIUS
Ketua jurulatih Jelius Ating yakin skuad Tambadau Sabah kekal dengan momentum baiknya apabila meneruskan saingan Liga Premier menentang Pulau Pinang di Stadium Likas, Sabtu ini.
"Walaupun saingan berehat kira-kira tiga minggu, tiga perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Super di Semenanjung minggu lalu membantu mengekalkan momentum pasukan.
"Terima kasih kepada pengurusan terutama Presiden Safa Datuk Peter Anthony kerana membolehkan pasukan mendapat perlawanan persahabatan yang diperlukan itu. Ia adalah kunjungan yang sangat berbaloi," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurutnya, dua pertemuan dengan Melaka United dan sekali dengan Selangor PKNS FC banyak membantu terutama dalam persediaan Tambadau Sabah meneruskan saingan sebenar.
Dua perlawanan dengan Melaka United menyaksikan pasukan utama Tambadau Sabah tewas 2-0 perlawanan pertama tetapi pasukan kedua menebusnya dengan kemenangan jaringan sama pada pertemuan kedua.
Pasukan utama juga kemudiannya menunjukkan mereka masih dengan momentum baik apabila menundukkan Selangor PKNS 1-0 pada perlawanan persahabatan terakhir.
Gol Tambadau Sabah ketika menentang Melaka dijaringkan Stanley Sulong dan Melky Balang manakala gol tunggal ketika menentang PKNS dijaringkan Rodoljub Paunovic.
"Kita mendapat ujian baik pada perlawanan persahabatan itu kerana lawan adalah dari Liga Super yang dibarisi ramai pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan. Bagimanapun, pasukan kita dapat menyaingi mereka.
"Saya gembira dengan sikap dan perkembangan prestasi ditunjukkan pemain yang saya percaya petanda positif untuk pasukan meneruskan saingan sebenar nanti," katanya.
Jelius berkata, baki tempoh yang ada akan dimanfaatkan untuk memantapkan pasukan dengan memperbaiki kelemahan.
"Seperti yang saya kata pada awalnya, keputusan perlawanan adalah perkara kedua dalam kunjungan ke Semenanjung itu. Apa yang penting ialah kita dapat menguji pemain dan saya gembira kerana berpeluang menurunkan semua yang dibawa dalam kunjungan itu," katanya.
Dua puluh empat pemain dibawa dalam kunjungan itu iaitu Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mafry Balang, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Muhammad Mohd Safar, Mohd Azizan Nordin, Alto Linus, Melky, Jenius Karib, Randy Baruh Samson, Justin Samaan, Mohd Azwan Abd Fattah, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Elias Sulaiman, Sabri Sahar, Rahman Shah Marajeh, Stanley, Mazlan Yahya, Ranilson Batuil, Pask Tae Su, Paunovic dan Luka Milunovic.
Pasukan kemudian disertai Ariusdius Jais selepas beliau digugurkan dari skuad bawah 23 tahun kebangsaan.
Jelius berkata, hampir semua pemainnya sedia beraksi apabila meneruskan cabaran Sabtu ini juga merupakan perkembangan positif pasukan.
Kecuali Park Tae Su yang tidak dapat disenaraikan kerana menjalani penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning, semua pemain lain termasuk Luiz Carlos Junior yang dalam senarai kecederaan sebelum ini sedia untuk beraksi.
"Saya tidak senaraikan Junior ke Keningau dan Semenanjung kerana mahu beliau pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot paha.
"Nampaknya beliau sudah pulih walaupun belum cergas sepenuhnya. Semalam (malam Isnin) beliau (Junior) beraksi kira-kira 70 minit tanpa masalah ketika kami mengadakan latihan bersama skuad bawah 21 tahun (Sabah)," katanya.
Tambadau Sabah kini di kedudukan kedua carta Liga Premier dengan 11 mata selepas enam perlawanan dengan rekod tiga menang dua seri dan satu kalah. Sabah tanpa kalah lima perlawanan berturut-turut.
Di tangga teratas adalah pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dengan 13 mata manakala dua pasukan di bawah Sabah ialah UiTM FC dan Selangor United yang masing-masing telah mengumpul 10 mata.---STADIUMASTRO
0 comments:
Catat Ulasan