Harimau Malaya boleh buat kejutan bertemu China
KIM SWEE
Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee percaya anak-anak buahnya berpotensi untuk memberi kejutan ketika bertemu China pada perlawanan akhir Kumpulan J pusingan kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, malam ini.
Katanya adalah tidak mustahil bagi Malaysia yang mengintai peluang layak secara automatik ke pusingan akhir di Bangkok tahun depan untuk mencipta kemenangan menerusi strategi permainan yang baik.
Menurutnya China yang dikendalikan bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea, Guus Hiddink menampilkan keazaman tinggi dalam dua perlawanan sebelum ini yang dibuktikan menerusi pesta gol mereka termasuk lapan yang diledakkan dalam pertemuan dengan Filipina kelmarin.
“Sudah tentu kita perlukan strategi yang ampuh, China sebuah pasukan yang hebat dan mereka mencatat 13 gol keseluruhan. Itu menunjukkan betapa bagusnya mereka. Perlawanan esok (malam ini) tidak mudah tetapi bukan mustahil.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka pasukan yang hebat sementara kita cuma sederhana, namun kadangkala pasukan sederhana juga boleh mencipta kejutan. Apa yang penting kita turun menentang China dengan satu objektif, iaitu kita perlu menang untuk layak secara automatik,” katanya kepada pemberita selepas kemenangan 1-0 ke atas Laos malam kelmarin.
Kemenangan kedua selepas menundukkan Filipina 3-0 pada Jumaat lepas menyaksikan anak buah Kim Swee mengutip enam mata untuk berada di tempat kedua di belakang China dengan perbezaan sembilan gol.
Kemenangan ke atas China menjamin tempat Malaysia pada pusingan akhir AFC B-23 2020, namun jika ruang ini gagal dimanfaatkan, peluang Malaysia untuk mara adalah tipis.
Sementara itu, penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli menggesa rakan sepasukannya untuk terus memberikan fokus 100 peratus serta mengekalkan disiplin ketika berdepan China.
“Mungkin di atas kertas nama China lebih besar berbanding Malaysia tetapi apa-apa keputusan hanya akan ditentukan esok. Kita sebagai satu pasukan perlu bagi kerjasama dan perlu lebih berdisiplin. Kita akan cuba berikan yang terbaik,” katanya. — Bernama
0 comments:
Catat Ulasan