DATUK Wira Yusoff Mahadi. - Foto Khairunisah Lokman
Harimau Malaya perlu tunjuk karektor sebagai pencabar
KUALA LUMPUR: Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kemboja pada aksi pembukaan Piala AFF semalam bukan jaminan untuk skuad Harimau Malaya melepasi halangan Kumpulan A.
Perkara itu diakui sendiri pengurus pasukan Datuk Wira Yusoff Mahadi yang menganggap anak buah Tan Cheng Hoe tidak mempamerkan karektor sebagai pasukan pencabar kejuaraan dan perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya.
"Ia kemenangan yang cukup penting kerana kita tidak boleh kehilangan tiga mata pada perlawanan pertama dengan Kemboja ini. Tapi kita tahu tahap kemampuan Kemboja dan apa akan berlaku kalau bertemu dengan pasukan lebih kuat jika masih beraksi seperti semalam?
"Kita tidak mempamerkan karektor sebagai pasukan pencabar, jadi sesuatu harus dilakukan untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Saya akan berbincang dengan jurulatih Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatih untuk memperkemaskan permainan skuad negara.
"Kita harapkan apabila bertemu Laos Isnin ini, kita dapat pamerkan permainan lebih bermutu," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.
Skuad Harimau Malaya jelas bergelut beraksi di padang rumput tiruan di Stadium Olimpik Phnom Penh dan hanya mengharapkan gol tunggal perlawanan penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-30 untuk membawa pulang tiga mata.
Pada edisi dua tahun lalu, Malaysia turut berjaya menewaskan Kemboja 3-2 namun tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas kepada Vietnam dan Myanmar dengan 1-0.
Kali ini Harimau Malaya akan bertemu sekali lagi dengan dua pencabar itu di peringkat awal pada 16 dan 24 November yang bakal menjadi penentu ke separuh akhir.
"Saya tahu pemain kita boleh beraksi lebih baik daripada apa yang mereka pamerkan ketika menentang Kemboja. Saya harap akan ada peningkatan apabila skuad negara bermain di laman sendiri nanti," kata Yusoff.
Sumber: bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan