AKSI penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) diasak pemain Kemboja dalam kempen Piala AFF di Stadium Olimpik Phnom Penh sebentar tadi. - Foto FB FAM
Mat Yo selamatkan Harimau Malaya
KUALA LUMPUR: Penyerang Norshahrul Idlan Talaha membuktikan dirinya masih berbisa apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Kemboja untuk membantu skuad Harimau Malaya membuka langkah kanan dalam kempen Piala AFF di Stadium Olimpik Phnom Penh sebentar tadi.
Kemenangan itu cukup penting buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam misi melepasi halangan Kumpulan A di mana mereka bakal berdepan Laos, Vietnam dan Myanmar selepas ini.
Ini pertemuan ketiga Malaysia dan Kemboja dalam saingan Piala AFF dengan skuad negara turun dengan rekod kemenangan 3-2 dalam dua perlawanan pada edisi 2000 dan 2016.
Cheng Hoe tiada masalah menurunkan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diterajui kapten Zaquan Adha Abd Radzak, Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia Safawi Rasid dan pemain naturalisasi dari Gambia Mohamadou Sumareh.
Bagaimanapun, pemain yang mencuri tumpuan adalah penyerang berusia 32 tahun, Norshahrul atau Mat Yo yang meledak menerusi tandukan jarak dekat pada minit ke-30 selepas dia melepaskan peluang terbaik lapan minit sebelum itu.
Gol itu meredakan tekanan skuad negara selepas pasukan tuan rumah kendalian Felix Gonzalez lebih banyak menguasai bola bermain di atas padang tiruan namun hanya penyudah penyerang mereka Reung Bunheing dan Chan Vathanaka kurang tajam.
Malaysia, juara edisi 2010 sebenarnya boleh mendahului permainan lebih awal namun bola rembatan kaki kiri Safawi terkena tiang kanan gawang Kemboja ketika Um Vichet sudah tertewas di minit ke-26.
Bersambung babak kedua, permainan bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan untuk mendapatkan gol.
Selepas minit ke-70, Cheng Hoe kemudian memasukkan Shahrel Fikri dan Ahmad Hazwan Bakri dan mengeluarkan Zaquan dan Norshahrul bagi menguatkan jentera serangan.
Peluang terbaik skuad Harimau Malaya untuk menggandakan jaringan hadir pada minit ke-80 namun Sumareh yang melakukan larian di sebelah kanan gagal menewaskan Um Vichet serta percubaannya pada masa tambahan terkena tiang untuk kedudukan kekal 1-0.
Dengan format baharu tanpa tuan rumah, Malaysia akan kembali ke tanah air dari Phnom Penh untuk berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Isnin ini, disusuli Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di SNBJ (24 November).
0 comments:
Catat Ulasan