Sikap tidak betul punca kekalahan Tambadau
PENJARING gol tunggal Sabah, Milunovic (depan) bergelut melepaskan diri dari kekangan ketua pasukan JDT II Mohd Shakir Shaari. - Gambar ihsan Media SAFA
Kekalahan skuad Tambadau Sabah ditangan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada perlawanan pertama Liga Premiernya di Stadium Likas, Sabtu lalu lebih kepada disebabkan sikap pemain, kata ketua jurulatih Jelius Ating.
"Perlawanan pertama musim ini kurang memuaskan bagi saya. Separuh masa pertama, kita bermain cukup baik dan menguasai permainan. Kita bagi tekanan dan tidak bagi JDT II peluang pegang bola. Ia persembahan yang menunjukkan tiada alasan kita boleh kalah malam ini.
"Tetapi bila masuk masa kedua, permainan sudah berubah dan longgar. Kelalaian berlaku dan bagi ruang kepada mereka (JDT II) bermain, jadi akhirnya ini beri tekanan kepada kita.
"Satu perkara yang saya lihat di sini, bukan pasal pemain kita tidak cukup bagus tetapi disebabkan sikap yang tidak betul. Mereka tidak mengekalkan satu sikap bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Baca juga: JDT ll bangkit benam TambadauJelius bagaimanapun tidak menuding jari kepada mana-mana pemain tetapi memberi ingatan kepada mereka bahawa untuk memenangi sesuatu perlawanan perlu ada sikap yang betul dan konsisten.
"Kena betulkan sikap. Mahu berkerja keras dan berjuang habis-habisan itu semua dari diri pemain sendiri. Itu sebabnya saya mahu pemain perlu ada kesedaran dan perlu bangkit. Banyak ruang lagi yang perlu diperbaiki dan masih ada masa," katanya.
Beliau berkata, kegagalan menterjemahkan peluang kepada jaringan dan tidak dapat mempertahankan kelebihan yang dimiliki juga masalah dalam pasukan.
"Satu gol pun memadai untuk memenangi perlawanan. Kita tidak perlu banyak gol untuk menang jika boleh mengekalkan permainan yang baik. Masalahnya malam ini, selain gagal menyudahkan peluang yang ada untuk menambah jaringan, kita juga tidak dapat mengekalkan permainan yang baik untuk mempertahankan satu gol itu," katanya.
Mengenai baki satu kuota untuk import yang belum diisi, Jelius berkata perkara itu masih sedang diusahakan dan beliau berharap akan mendapat pemain yang boleh mengatasi masalah penyudah pasukan.
Perlawanan Sabtu lalu menyaksikan Sabah lebih awal mendahului hasil jaringan pemain import baru, Luka Milunovic pada minit ke-13. Milunovic menyudahkan bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli yang dicabar Rodoljub Paunovic sebelumnya.
Kedudukan Sabah di hadapan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama .
Selepas rehat, JDT II lebih awal melakukan ancaman tetapi tolakan Lucas Elias Ontivero selepas melepasi perangkap offside dan seterusnya penjaga gol Sabah Rozaimie Rohim dihalang pertahanan Sabah Dendy Lowa dari melepasi garisan pada minit ke-55.
Sabah berpeluang menambah jaringan pada minit ke-58 tetapi sepakan percuma Sabri Sahar dari jarak 25 meter sekadar menggegarkan tiang gol dan Paunovic lambat bertindak menyambar membuat penyudah bola di depan gawang.
Tandukan nipis penyerang import JDT II, Mohammad Ghaddar terhadap sepakan percuma Kumaahran Sathasivam pada minit ke-63 menjadikan kedudukan 1-1 sebelum Md Rozaimi Abd Rahman membuktikan sepakan percumanya masih menjadi antara senjata pemusnah utamanya.
Masuk sebagai pemain gantian, bekas penyerang Sabah itu melakukan sepakan percuma dari jarak kira-kira 25 meter yang hanya mampu diperhatikan penjaga gol Sabah mencecah jaring untuk JDT II keluar sebagai pemenang.
Sabah akan meneruskan cabaran menentang Kelantan di tempat lawan pada 8 Februari.
Sabah: Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Taesu Park, Rodoljub Paunovic, Luka Milunovic, Randy Baruh @ Samson, Ricco Nigel Milus, Maxsius Musa, Elias Sulaiman (Mohd Azizan Nordin) dan Sabri Sahar (Rahman Shah Marajeh).
JDT II: Muhmmad Haziq Nadzli, Che Rshid Che Halim, Bruno Gabriel Soares, Lucas Elias Ontivero (Muhammad Adib Zainudin), Kumaahran Sathasivam (Md Rozaimi Abd Rahman), Darren Yee Deng Lok, Muhammad Fazly Mazlan, Mohd Shakir Shaari, Mohamad Ghaddar, Mohamad Hasbullah Abu bakar dan Dominic Tan Jun Jin.
oleh VITALIS G. BINGKASAN
Sumber: Utusanborneo
0 comments:
Catat Ulasan