Tok Gajah enggan kalah lagi
Baca juga:Debut cemerlang Rawilson Batuil dan Azizan Nordin
Harimau Malaya mengaum di Kemboja
KUANTAN: Kemenangan ke atas Sabah pada perlawanan terakhir Kumpulan D saingan Piala Malaysia Ahad ini mampu menyuntik semangat skuad Pahang sebagai persiapan menghadapi suku akhir piala berprestij itu.
Ia diakui pemain pertahanan skuad Tok Gajah, Mohd Faisal Rosli yang mengharapkan kebangkitan selepas kecundang 1-3 kepada Selangor pada 1 September lalu.
"Perlawanan terakhir bertemu Sabah Ahad ini, diharap menyebelahi kami sebagai persediaan awal berdepan cabaran sengit aksi suku akhir nanti.
"Walaupun kemenangan itu tidak membantu untuk muncul juara kumpulan tetapi ia sudah memadai untuk kami kembali berada pada prestasi lebih baik.
"Apa yang perlu kami lakukan bukan sahaja memperkasakan jentera pertahanan, malah sokongan daripada bahagian tengah dan serangan," katanya.
Mengulas prestasi semasa, Mohd Faisal tekad kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama pada perlawanan terakhir itu.
Dia yang terlepas empat perlawanan dalam kempen piala berprestij itu berikutan kecederaan tidak mahu terus berada di bangku simpanan.
"Saya akui kecederaan pada kaki walaupun tidak serius memberi kesan terhadap prestasi. Tetapi saya kembali yakin untuk tampil dengan prestasi terbaik.
"Tempoh rehat dua minggu dimanfaatkan sepenuhnya terutama dari segi kecergasan sebagai persediaan pada suku akhir nanti.
"Setakat ini segalanya berada pada tahap terbaik dengan sesi latihan keras yang dilakukan termasuk di pantai dan bukit," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan