PENGADIL, Suresh Jayaraman. - NSTP/Hasriyasyah Sabudin
FAM akan 'Siasat' Suresh
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan akan menilai prestasi pengadil, Suresh Jayaraman pada aksi final Piala Malaysia, malam tadi yang didakwa melakukan beberapa keputusan kontroversi sehingga mendapat kecaman banyak pihak.
Justeru, Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya akan mengadakan ‘bedah siasat’ mengenai prestasi pengadil itu pada aksi berprestij berkenaan sebagai usaha menambah baik mutu pengadilan di negara ini.
ADVERTISING
“Kita akan menunggu laporan badan penilai pengadil terlebih dahulu esok dan kemudian kita akan mengadakan ‘post mortem’ sebelum ia dibawa kepada Jawatankuasa Pengadil FAM.
“Selepas itu, kita serahkan kepada jawatankuasa terbabit untuk membuat apa-apa keputusan daripada ‘post-mortem’ berkenaan memandangkan mereka lebih arif,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mutu pengadilan Suresh pada aksi final antara Terengganu FC (TFC) dan Perak di Stadium Shah Alam malam tadi mencetuskan pertikaian banyak pihak susulan beberapa keputusan kontroversi yang dilakukannya sepanjang mengadili perlawanan itu.
Antaranya Suresh membatalkan jaringan penyamaan penyerah Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-32 selepas dikatakan mengasari penjaga gol TFC, Mohd Suffian Rahman selain membatalkan jaringan Gilmar da Silva pada babak kedua kerana dikatakan sudah berada dalam keadaan ofsaid.
Malah, Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membidas pengadil berkenaan dan menyifatkan mutu pengadilan pada aksi terbabit teruk.
“Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk. Saya tidak pernah melihat dia dan saya terkejut mengapa dia dipilih untuk final,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya.
Mengulas lanjut mengenai cadangan Tunku Ismail untuk membawa masuk pengadil luar untuk aksi penting, Stuart menjelaskan pihaknya sedang bekerjasama dengan MFL dan sudah berada pada langkah terakhir untuk pengenalan pengadil profesional.
“Seperti yang sudah FAM katakan sebelum ini, kami menyambut baik cadangan MFL dan pengenalan pengadil profesional dijangka dapat dilaksanakan bermula tahun hadapan,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan