PENJAGA gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Penjaga gol Perak 'tendang angin'
KUALA LUMPUR: Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy nyaris menyebabkan pasukannya ‘terlepas’ Piala Malaysia selepas melakukan kesilapan mudah apabila gagal membuat keputusan dengan cepat pada aksi final Piala Malaysia, malam tadi.
Jelas penjaga gol berusia 25 tahun itu, dia lambat untuk membuat keputusan ketika cuba mendapatkan bola yang menyaksikan dia sekadar ‘menendang angin’ sekali gus membolehkan Tchetche Kipre menghadiahkan gol kedua buat Terengganu FC.
“Sebenarnya saya mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan kerana rasa gemuruh memandangkan Piala Malaysia ini adalah pentas terbesar buat saya.
“Punca kesilapan itu disebabkan saya lambat membuat keputusan sama ada mahu menangkap atau menyepak bola itu. Saya lambat membaca pergerakan bola.
“Mujurlah rakan sepasukan sentiasa memberi semangat dan motivasi. Saya cuba kembali dalam permainan pada babak kedua kerana saya tahu rakan sepasukan memerlukan saya.
“Jika saya terus hanyut dengan kesilapan itu mungkin keadaan menjadi semakin parah. Saya hanya banyakkan berdoa dan minta kekuatan daripada Allah," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan, malam tadi.
Namun, penjaga gol kebangsaan itu menebus kesilapannya apabila menjadi wira buat The Bos Gaurus selepas menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu pasukannya menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelapan.
"Saya tidak jangka dapat menyelamatkan dua penalti. Mungkin itu rezeki saya kerana sebelum ini saya melakukan satu kesilapan yang hampir menyebabkan kekalahan,” katanya.
Pada aksi terbabit, Hafizul menyelamatkan sepakan penalti yang diambil pertahanan, Igor Zonjic dan pemain tengah, Chanthachaery Bin namun tewas pada sepakan penalti ketiga oleh Nasrullah Haniff Johan.
Bagaimanapun, ia tidak memberi apa-apa makna buat TFC apabila Perak berjaya menyempurnakan semua empat penalti pertama mereka untuk meraih kemenangan 4-1 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan.- Bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan