JDT sah akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun depan. - Grafik FB JOHOR Southern Tigers
JDT beraksi di Liga Juara-Juara Asia
KUALA LUMPUR: Sejarah baharu bola sepak tanah air dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kelab itu sah akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada tahun depan.
Ia penyertaan pertama pasukan dari Malaysia pada kejohanan peringkat tertinggi kelab Asia dengan JDT bakal bersaing di peringkat kumpulan Asia Timur bersama-sama 15 kelab elit yang lain.
Berdasarkan kenyataan di Facebook rasmi kelab Harimau Selatan itu, Johor Southern Tigers hari ini, lima kelab sudah mengesahkan tempat ke ACL iaitu JDT, Jeonbuk Hyundai Motors (Korea Selatan), Sydney FC (Australia), Melbourne Victory (Australia) dan Buriram United (Thailand).
JDT yang juga juara Liga Super lima kali berturut-turut sudah bersedia untuk menyahut cabaran itu.
“Tujuh lagi slot automatik akan diisi oleh kelab dari Korea Selatan, Jepun dan China manakala empat lagi tempat bakal diisi oleh pasukan yang bersaing di peringkat 'play-off'.
“JDT pastinya akan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin bagi menghadapi cabaran yang hebat ini,” jelas kenyataan kelab juara Piala AFC 2015 itu.
Semangat JDT bagi mengharungi kempen ACL dan Liga Malaysia musim depan itu terserlah apabila mereka sudah mengikat kontrak pemain kelahiran Brazil, Mauricio dos Santos Nascimento.
Pengalaman luas Nascimento di liga Eropah dan pernah menyertai kelab ternama iaitu kelab Serie A, SS Lazio sebelum dipinjamkan ke kelab Spartak Moscow, Russia dan Legia Warsaw, Poland bakal menjadi aset penting buat JDT.- Bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan