PEMAIN Perak meraikan kegembiraan selepas pemain berjersi no 8, Leandro Dos Santos berjaya membuat sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto BERNAMA
'Import Perak hina bola sepak Terengganu, Malaysia'
KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (PETEH) menyelar tindakan tidak profesional dua pemain import Perak meraikan gol penyamaan dengan aksi keterlaluan di depan pertahanan Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.
Malah PETEH menyifatkan provokasi melampau dan tiada adab dilakukan Wander Luiz dan Leandro Dos Santos ketika Zonjic dalam keadaan sedih adalah satu bentuk penghinaan bukan saja kepada pemain TFC, tetapi juga kepada seluruh penyokong bola sepak Terengganu dan Malaysia.
ADVERTISING
Presidennya, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, gelagat melampau kedua-duanya itu bukan budaya bola sepak negara dan begitu memalukan apatah lagi ditonton jutaan peminat dari dalam dan luar negara.
"Kami sifatkan tindakan biadab dua pemain import itu ketika Zonjic bersedih adalah sengaja untuk mengaibkan pemain itu dan TFC serta peminat setia skuad Penyu.”
"Malah tindakan kurang ajar pemain itu juga jelas menghina pemain TFC dan peminat sekali gus boleh menjatuhkan maruah kerana itu bukan budaya negara ini malah juga di peringkat dunia sekali pun.
"Jika hendak rai jaringan sendiri pemain TFC (Zonjic) sekalipun itu bukan caranya, banyak lagi cara lain. Tindakan itu bagaikan sudah dirancang dan lebih menyedihkan dilakukan di hapadan Zonjic dan lebih 80,000 peminat yang hadir di Stadium Shah Alam," katanya.
Dalam perlawanan penuh kontroversi itu, skuad Penyu mendahului 2-0 pada babak pertama perlawanan, namun terpaksa menerima hakikat tewas 1-4 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 sehingga masa tambahan.
Mengulas lanjut, Dr Najmil menuntut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneliti perkara itu dan menghukum dua pemain berkenaan yang melakukan provokasi melampau itu sebagai pengajaran kepada pemain berkenaan dan juga pemain lain.- Bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan