Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Khamis, 9 Ogos 2018

Kejutan pembukaan Piala Malaysia lakar rekod menarik

PEMAIN JDT, Ahmad Hazwan Bakri cuba melepasi pertahanan MIFA, Wan Mohd Syukri Wan Ahmad pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 5 Ogos. - Foto BERNAMA

Kejutan pembukaan Piala Malaysia lakar rekod menarik



Aksi pembukaan Piala Malaysia yang berlangsung minggu lalu menyaksikan rekod menarik dicipta apabila semua lapan pasukan tuan rumah gagal untuk meraih kemenangan pada aksi sulung mereka bagi kempen musim ini.



Lapan pasukan beraksi sebagai tuan rumah minggu lalu, namun empat daripanya terpaksa akur selepas tewas di tangan pelawat manakala empat lagi pasukan perlu berpuas hati apabila berkongsi satu mata.



Kejutan paling besar dilakar hanya pada aksi pertama dalam Kumpulan C yang menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tunduk 1-2 di tangan pasukan Liga Perdana yang beraksi buat kali pertama dalam saingan itu, MIFA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.



PEMAIN Kedah, Sandro Da Silva (kiri) berebut bola dengan pemain Kelantan, Cassio Francisco De Jesus pada saingan Piala Malaysia Kumpulan C di Stadium Darul Aman, 5 Ogos. - Foto Amran Hamid



Sementara itu, di Stadium Darul Aman, Kedah yang juga naib juara tahun lalu terikat 0-0 menentang pasukan di tangga ke-11 Liga Super, Kelantan.



Bagi saingan Kumpulan D, juara 33 kali, Selangor yang turun buat kali pertama di Stadium Shah Alam sebagai tuan rumah selepas satu setengah musim terpaksa akur dengan kehebatan PKNP FC apabila mereka tewas 0-3, manakala juara Piala FA, Pahang dikecewakan Sabah menerusi keputusan 1-1 pada aksi di Stadium Darul Makmur.



Saingan Kumpulan A menyaksikan kekalahan terbesar bagi perlawanan pertama Piala Malaysia musim ini apabila Kuala Lumpur dibelasah Terengganu 5-1 dengan satu lagi aksi membabitkan naib juara Liga Super, Perak dan pendatang baharu Piala Malaysia, FELCRA FC berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.



Bagi aksi Kumpulan B, pesta gol dapat disaksikan di Stadium Hang Jebat apabila PKNS FC membenam PDRM 5-2 manakala juara Liga Perdana, FELDA United gagal memanfaatkan peluang beraksi di Stadium Tun Abdul Razak apabila berkongsi satu mata dengan Melaka United menerusi keputusan 0-0.


PEMAIN PKNS FC, Romel Oswaldo Morales Ramirez (atas) diasak pemain PDRM, Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi pada perlawanan Piala Malaysia 2018 di Stadium Hang Jebat, Krubong, 4 Ogos. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber



Aksi kedua Piala Malaysia yang akan berlangsung Jumaat sehingga Sabtu ini menyaksikan tiga pasukan tuan yang tewas sebelum ini sekali lagi akan melayan kunjungan pelawat sekali gus memberi peluang terbaik untuk mereka melakukan kebangkitan.



Bagi aksi Kumpulan C yang akan berlangsung malam esok, JDT akan bertemu Kedah dalam misi untuk kembali meraih tiga mata sementara MIFA akan meneruskan pemburuan tiga mata menentang Kelantan di Stadium MBPJ.



Sementara Selangor akan berdepan Pahang bagi aksi Kumpulan D pada Sabtu dan satu lagi pasukan tuan rumah, PDRM akan melayan kunjungan FELDA United, Ahad ini. 



Empat aksi turut berlangsung pada Sabtu iaitu Perak bertemu Terengganu (Kumpulan A), Melaka menentang PKNS FC (Kumpulan B) dan Sabah bertemu PKNP FC (Kumpulan D).



Satu lagi aksi Kumpulan A berlangsung pada Ahad membabitkan FELCRA FC menentang Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog