MISC-MIFA cipta kejutan tewaskan JDT
Baca Juga:
Semangat "kasi radu" harus dikekalkan
JDT rebah di Larkin
Pahang belum tunjuk taring
City juara tewaskan Chelsea
Sabah kini kembali ke Piala Malaysia
Kejutan "Underdog" Piala Dunia cetus semangat Sabah
Bintang Piala Dunia Korea Uji skuad B-23
Hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk memulakan kempen mempertahankan Piala Malaysia 2018 dengan langkah kanan lebur apabila dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan pendatang baru, MISC-MIFA, dalam aksi Kumpulan C di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Preview perlawanan Sabah v PKNPDua gol sumbangan pemain import, Kpah Sherman dan Beom Geun Bae, dalam setiap babak ternyata menenggelamkan sokongan padu yang diraih skuad Harimau Selatan itu di laman sendiri walaupun cuba mempamerkan kebangkitan menerusi jaringan tunggal Fernando Marquez.
Turun dengan status juara bertahan, JDT yang dibimbing Raul Longhi itu melayan kunjungan MISC-MIFA tanpa kehadiran tonggak utama, Safawi Rasid, ekoran aksi bersama skuad B-23 Malaysia sambil Aidil Zafuan Abdul Radzak, Syamer Kutty Abba dan Nazmi Faiz Mansor dilihat memanaskan bangku simpanan.
Bagaimanapun, pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah pada minit ke-18 apabila penyerang import berusia 26 tahun, Sherman, memberikan pendahuluan buat anak-anak buah K. Devan.
Penggempur yang berasal dari Liberia itu bijak menghukum kealpaan benteng JDT, melepasi perangkap ofsaid dan mengatasi asakan Marcos Antonio, sebelum melepaskan rembatan melalui sisi luar kaki kanan untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.
Tersentak dengan kelebihan yang dimiliki pelawat, anak-anak buah Longhi mengatur gerakan dan berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi dua sepakan percuma di depan kotak penalti MISC-MIFA, namun ia tetap gagal disempurnakan oleh penyerang, Ahmad Hazwan Bakri.
Kemasukan Nazmi Faiz dilihat banyak membantu dalam melancarkan gerakan JDT, namun benteng pelawat tetap kebal menutup pintu gol, sehinggalah penyokong di Larkin bersorak pada minit ke-68 apabila skuad Harimau Selatan itu dianugerahkan sepakan penalti selepas sepakan sudut dari sebelah kiri oleh La'Vere Corbin-Ong terkena tangan kapten pasukan, B. Tinagaran.
Peluang itu pantas disempurnakan Marquez untuk memperdayakan penjaga gol pelawat, Muhaimin Mohamad, dengan melepaskan rembatan leret ke sebelah kiri gawang untuk mengikat kedudukan 1-1.
Tatkala JDT terus melakukan asakan demi asakan untuk meraih kelebihan menerusi jaringan kedua, situasi sebaliknya berlaku apabila L'Imam Seydi menggelecek dua pertahanan JDT menerusi satu gerakan serangan balas.
Pemain berdarah campuran Perancis dan Senegal itu membuka ruang buat Geun Bae yang mudah melencongkan bola dengan tendangan kaki kiri untuk memberikan gol kemenangan buat MISC-MIFA dalam penampilan pertama mereka sepanjang sejarah Piala Malaysia.
Kemenangan itu membolehkan MISC-MIFA kini memimpin carta Kumpulan C berbekalkan tiga mata, selepas dua lagi pencabar, Kelantan dan Kedah, sekadar mencatat keputusan seri 0-0 di Alor Setar.
KEPUTUSAN LAIN:
Kumpulan B
Felda United 0 Melaka 0
PDRM FA 2 PKNS FC 5
Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers
0 comments:
Catat Ulasan