Yusri: TRW perlu kerja keras di Likas
Baca juga:
Pemain terbaik perlawanan Kelantan vs Sabah
Kelantan gelisah menang tipis ke atas Sabah
Sabah bawa satu gol berharga dari Kota Bharu
Siaran langsung perlawanan Kelantan vs Sabah Piala Malaysia
Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mengakui kemenangan tipis 2-1 ke atas Sabah membuatkan The Red Warriors (TRW) perlu bekerja keras dalam suku akhir kedua di Likas jika mahu ke separuh akhir.
"Syukur kepada Allah kerana kita diberi kemenangan tipis tetapi kita masih mendahului dengan dua jaringan. Ada bagus dan ada tidak bagusnya di sini. Mungkin dari segi jaringan, menampakkan kita agak sukar di Likas nanti. Cuma, dalam bola sepak tidak ada yang mustahil.
"Saya bertanggung jawab apa yang berlaku malam ini ( malam tadi). Semua sedia maklum, kita disajikan dengan tiga peluang terbuka. Dua oleh Santos (Christiano) dan satu oleh Nik Azli ( Nik Alias). Saya tidak boleh bercakap apa-apa melainkan dia (Tuhan) tidak mengizinkan untuk kami menang besar," katanya.
Yusri yang juga bekas pengendali Felcra FC, terharu dengan kehadiran lebih 13,000 penonton yang sanggup berhujan dan menyatakan sokongan yang padu kepada TRW.
"Saya juga terharu dengan kehadiran ribuan penyokong kerana lebih tujuh bulan kami gagal memanggil untuk hadir tetapi malam ini mereka membuktikannya," katanya.
Ditanya mengenai prestasi TRW yang agak goyang di gelanggang lawan, Yusri berharap pemain bangkit berjuang sekurang-kurangnya mempertahankan keputusan sedia ada untuk layak ke separuh akhir.
"Kita tahu rekod di gelanggang lawan tidak cemerlang langsung. Kita hanya mampu seri 0-0 dengan Kedah di Alor Star selain tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan MISC-MIFA.
"Cuma, di peringkat ini (suku akhir), keadaannya agak berbeza dan saya yakin dengan kehadiran semula Mohd Haziq (Mohd Fuad) menguatkan lagi jentera pertahanan dan insya-Allah kita akan lakukan sebaik mungkin untuk tempatkan diri ke separuh akhir," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan