PEMANGKU Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad. - Foto ihsan PAFA
Faris, Shahrel dalam radar PAFA
IPOH: Pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli kini berada dalam radar pasukan Perak untuk kuota import Asia Tenggara (ASEAN) bagi musim hadapan selepas dua import pasukan itu sah digugurkan.
Selain Faris, turut menjadi buruan bagi memantapkan jentera pasukan adalah penyerang skuad kebangsaan yang kini beraksi dengan kelab Thailand Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Md Fauzi.
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, ketua jurulatih, Mehmet Durakovic memberitahu pengurusan untuk mendapatkan khidmat Faris bagi memantapkan jentera tengah pasukan itu.
"Sebelum bercuti, Durakovic ada memberitahu mengenai Faris dan ingin mendapatkan pemain itu bagi kuota import ASEAN, memang Faris kini berada dalam radar pasukan.
"Nama Shahrel juga berada dalam senarai namun kini PAFA mahu menyelesaikan dahulu kontrak untuk pemain-pemain yang dikekalkan sebelum membawa masuk pemain baharu," katanya ketika dihubungi NSTP.
Pada sidang media kelmarin, Muhammad Yadzan mengumumkan sekurang-kurangnya enam pemain atau 15 peratus daripada skuad Perak yang menjulang Piala Malaysia lalu akan digugurkan termasuk dua pemain import yang tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang musim lalu iaitu penyerang dari Filipina, Misagh Bahadoran serta pemain pertahanan dari Lubnan, Jad Noureddine.
Ketika ditanya mengenai bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi yang dikaitkan bakal menyarung jersi skuad The Bos Gaurus itu, Muhammad Yadzan berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Durakovic untuk memutuskannya.
"Memang kita ada menerima data peribadi mengenai pemain itu (daripada ejen) dan PAFA belum membuat sebarang keputusan kerana menyerahkan perkara itu kepada Durakovic untuk memutuskannya.
"Cuma yang saya boleh sahkan hanya Faris dan Shahrel kerana kedua-dua pemain itu disebutkan sendiri oleh Durakovic, PAFA menyerahkan keputusan mengambil pemain kepada Durakovic kerana dia lebih arif," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan