PEMAIN Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Laos pada aksi kedua Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Laos kecewa gol kontroversi Mat Yo
KUALA LUMPUR: Penolong jurulatih Laos, Firdaus Kassim akur dengan kekalahan 1-3 di tangan Malaysia meskipun mendakwa pasukan tuan rumah bernasib baik kerana mendapat jaringan kontroversi pada aksi kedua Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Menurut jurulatih kelahiran Singapura itu, anak buahnya mendakwa jaringan kedua Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo pada minit ke-86 tidak sepatutnya dibenarkan oleh pengadil dari Thailand, Sivakorn Pu-Udom.
"Pada 10, 20 minit pertama kami mengambil masa untuk menyesuaikan dengan keadaan corak permainan. Kami mengecewakan pemain Malaysia apabila mematahkan serangan mereka untuk tempoh masa yang lama.
“Mengenai gol kedua saya tidak begitu pasti tetapi pemain saya menjerit gol itu terkena tangan (pemain Malaysia), agak mengecewakan. Bagaimanapun, pengadil perlawanan membenarkan jaringan kontroversi itu dan kami menerimanya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Jaringan Norshahrul itu cukup mengecewakan pemain Laos yang mengimpikan sekurang-kurangnya satu mata selepas jaringan pendahuluan mereka menerusi Phithack Kongmathilath berjaya dipadam Zaquan Adha Abd Radzak.
Kekalahan kedua itu nyata menyukarkan laluan Laos untuk mara ke pusingan seterusnya selepas tumpas kepada Vietnam 0-3 pada perlawanan pertama sekali gus menyaksikan mereka kini terperosok di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.
Firdaus yang tampil pada sidang media menggantikan jurulatih V Sundramoorthy yang kehilangan suara kerana memberi arahan kepada pemain dalam perlawanan itu berkata, mereka perlu bangkit bagi menghadapi perlawanan dengan Myanmar di Stadium Nasional Laos, Vientiane pada Jumaat ini.
“Kami mengambil perlawanan satu demi satu dan selepas ini kami akan balik untuk melakukan proses pemulihan. Menentang Myanmar merupakan satu lagi perlawanan besar.
"Saya mengharapkan pemain menunjukkan semangat juang yang sama serta memiliki keazaman yang tinggi untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” katanya.
Sumber: bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan