MOHD Badhri Radzi
Singa Utara buru Piya
KANGAR: Selepas menafikan akan berhijrah ke Terengganu FC 1 (TFC 1), bekas Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya kini menjadi sasaran bekas juara Piala Malaysia 2004 dan 2006 iaitu Perlis.
Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata selain Piya, pemain pertahanan Kelantan, Amiridzwan Taj Tajuddin turut menjadi buruan Singa Utara.
"Kami sudah bertemu Piya dan Amiridzwan serta beberapa pemain dari negeri lain minggu lalu bagi membincangkan perjalanan karier mereka bersama PFA pada musim hadapan.
"Bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan meskipun saya boleh berkata pertemuan itu memberi petanda positif," katanya ketika ditemui di Hotel Putra Regency malam tadi selepas merasmikan Pelancaran PerfectBola dan PS Ball Mastery.
ADVERTISING
Ahmad Amizal berkata, meskipun Piya belum memberikan sebarang kata putus namun Perlis berharap bekas pemain tengah kebangsaan itu menyarung jersi pasukan yang sinonim dengan warna Biru Kuning.
"Pengalaman Piya yang pernah menyarung jersi kebangsaan antara faktor PFA mengadakan rundingan bersamanya.
"Jadi kita harapkan sesuatu yang positif daripada dia," katanya. Sebelum ini Sukan NSTP melaporkan Piya belum membuat keputusan sama ada akan menyarung jersi pasukan berstatus Liga Super atau Liga Premier bagi saingan musim depan.
Dia turut menafikan bakal berpindah ke TFC I, malah terkejut kerana tidak dihubungi langsung pasukan naib juara Piala Malaysia 2018 yang bergelar Peteh Terengganu Peteh itu.
0 comments:
Catat Ulasan