PEMAIN tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat. - Foto Luqman Hakim Zubir
Nik Akif kekal, Faridzuean angkat kaki
KOTA BHARU: Pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat menamatkan spekulasi perpindahan apabila dia kekal menyarung jersi skuad The Red Warriors (TRW) musim depan.
Sebelum ini pemain kelahiran Kuala Krai itu yang masih mempunyai kontrak sehingga 2021 dikatakan bakal angkat kaki selepas diintai pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana.
"Ya, saya akan terus kekal bersama skuad TRW musim depan biarpun mendapat tawaran daripada pasukan lain kerana saya menghormati kontrak berbaki dua musim lagi dengan Kelantan.
“Saya harap musim 2019 akan membuka lembaran baharu buat TRW selain menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala selepas gagal melakukannya musim ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Nik Akif yang juga pemain kebangsaan mula menyarung jersi TRW awal musim ini selepas dinaikkan pangkat daripada skuad Piala Presiden Kelantan.
Pemain berusia 19 tahun itu bukan saja bijak merencana jentera tengah pasukannya, tetapi pemain yang mula mencipta nama dengan Kelantan itu juga mampu menghasilkan jaringan.
Sementara itu penjaga gol Kelantan, Mohamad Faridzuean Kamaruddin mengesahkan bakal berhijrah ke pasukan dari Lembah Klang musim depan meskipun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menawarkan kontrak baharu sambil mengharapkan pemain kelahiran Kota Bharu itu terus kekal bersama TRW.
"Insya-Allah rundingan bersama pasukan baharu berjalan lancar dengan menyelesaikan urusan melengkapkan dokumen sebelum menandatangani kontrak.
"Terima kasih kepada KAFA dan seluruh peminat di negeri ini yang memberi sokongan dan peluang menyarung jersi Kelantan musim ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
0 comments:
Catat Ulasan