NUR Aleeya (tengah) menerima piala Anugerah Khas Pencapaian Antarabangsa sempena Hari Anugerah Cemerlang dan Konvokesyen Prasekolah Sekolah Kebangsaan Seri Ampang. - NSTP/Balqis Jazimah Zahari
Dari Ipoh ke Barcelona...
IPOH: “Saya minat Lionel Messi dan mahu jadi pemain bola sepak wanita profesional suatu hari nanti,” kata adik Nur Aleeya Redzuan, 11.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang, di sini itu adalah seorang daripada 32 peserta yang terpilih ke Barcelona, Sepanyol untuk menyertai Program Latihan Pengantarabangsaan Astro Kem Bola 2018 bermula 24 November hingga 4 Disember ini.
Anak ketiga daripada empat beradik dan berasal daripada Bandar Baru Pulai itu juga adalah seorang daripada 16 peserta perempuan dan peserta tunggal dari Perak yang layak ke program peringkat antarabangsa itu.
Mula aktif bermain bola sepak sejak berusia lapan tahun dan semakin aktif selepas menyertai Kelab Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Soccer Kids, Nur Aleeya bercita-cita menjadi pemain bola sepak wanita profesional.
“Guru, rakan dan ibu bapa memang sentiasa memberi sokongan untuk saya meneruskan minat untuk bermain bola sepak ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Pencapaian Antarabangsa dan sijil penghargaan di sekolahnya di sini hari ini.
Nur Aleeya berkata, semangatnya berkobar-kobar untuk mengikuti kem latihan berkenaan dan membahagikan masa yang secukupnya untuk belajar dan bermain bola sepak.
“Gembira kerana saya terpilih untuk ke sana (Barcelona), terima kasih dan saya akan banggakan ibu bapa, sekolah, jurulatih dan semua yang menyokong saya selama ini.
“Sebagai persiapan sebelum ke kem latihan itu, saya akan mengambil masa sekurang-kurang sejam untuk berlatih di Padang Ipoh selepas waktu sekolah,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Redzuan Ahmad, 43, berkata anaknya itu berminat dengan bola sepak selepas sering melihat perlawanan di televisyen terutama liga antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga.
“Anak saya memang meminati bola sepak dan apabila dia mendapat peluang menyertai kelab bola sepak, dari situ dia belajar sedikit demi sedikit teknik bermain, persefahaman satu pasukan dan mula menyertai pelbagai kejohanan sejak berusia sembilan tahun.
“Kemuncaknya dia berjaya melepasi saringan pemilihan di Shah Alam Ogos lalu dan seterusnya terpilih menyertai kem latihan itu,” katanya.
Ibunya, Aini Azlinda Hamzah, 44, pula berkata Nur Aleeya sudah mempunyai kecenderungan terhadap bola sejak kecil dan dia bersama suami menyokong penuh minat anaknya itu.
“Nur Aleeya adalah anak kembar dan kembar seirasnya, Nur Aleesa pula aktif dalam sukan boling padang.
“Perancangan masa hadapan untuk anak adalah jika mereka mendapat peluang belajar di sekolah sukan kami akan terus memberi sokongan,” katanya.
- bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan