Durakovic mahu kemenangan selesa untuk Perak
Setelah sekian lama terpinggir daripada pentas akhir Piala Malaysia, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, memahami keinginan tinggi penyokong The Bos Gaurus yang tidak rela melihat keinginan mereka disekat oleh Sabah.
Sabah pernah mengecewakan Perak sebanyak dua kali dalam separuh akhir pada 2002 serta 2003 dan fakta itu jelas menjadi kebimbangan peminat skuad Seladang jika mahu layak ke final sejak kali terakhir melakukannya pada 2007.
Nasib kini terserah sepenuhnya di tangan Durakovic yang berpeluang melakar sejarah tersendiri serta menghadirkan keceriaan kepada seluruh penyokong Perak.
"Kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam perlawanan ini. Kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku dalam bola sepak tetapi kami telah membuat persiapan untuk menghadapi perlawanan ini," katanya.
Mengenai Sabah, Durakovic tidak mahu mengandaikan Perak sebagai pasukan pilihan berbanding lawan yang datang daripada Liga Perdana.
Menurutnya, Sabah sudah menjadi sebuah pasukan berbeza sejak hadir dalam saingan Piala Malaysia dan banyak pasukan pilihan telah tumbang di tangan mereka.
"Kami telah mengharungi musim yang baik tetapi dalam saingan Piala Malaysia, terdapat beberapa pasukan yang berkualiti menampilkan persembahan yang mantap. Kami menghormati mana-mana lawan yang perlu dihadapi," ujarnya.
0 comments:
Catat Ulasan