Kemenangan ke atas TFC II titik kebangkitan skuad Tambadau
PETER (tengah) dan tetamu kehormat memberi reaksi gembira terhadap kemenangan 3-1 Tambadau Sabah ke atas TFC II di Stadium Likas Sabtu lalu. - Gambar ihsan Media SAFA
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony berharap kemenangan ke atas Terengganu FC II (TFC II) titik mula skuad Tambadau Sabah mencatat kemenangan demi kemenangan selepas ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangan pertama Sabah mengalahkan TFC II 3-1 dalam saingan Liga Premier di stadium Likas Sabtu lalu.
"Kemenangan itu merupakan hadiah terbaik untuk kita semua. Tahniah Tambadau Sabah dan seluruh warga SAFA. "Jurulatih , pengurus dan pemain telah membuktikan kita mampu bangkit semula di sebalik pelbagai cabaran dan spekulasi negatif," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad. Beliau berkata, persembahan terutama pada separuh masa kedua menunjukkan pasukan boleh bermain dengan baik. "Kekalkan prestasi , teruskan membolosi gawang lawan. Saya harap kemenangan ini adalah titik mula Tambadau Sabah terus mengamuk memburu kemenangan demi kemenangan. "Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi saya yakin pasukan ini akan terus bertambah baik. "Kami di SAFA akan terus berusaha memantapkan persatuan yang saya percaya secara langsung akan memantapkan pasukan kita," kata Peter.
Sambil itu, ketua jurulatih Jelius Ating memuji kesungguhan ditunjukkan anak didiknya menjelmakan kemenangan yang diharapkan itu.
Katanya, walaupun memulakan perlawanan itu dengan hambar terutama di separuh masa pertama, pemain bangkit menunjukkan karakter sebenar mereka untuk keluar sebagai pemenang.
"Pada perlawanan itu, kita lihat para pemain begitu bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan walaupun sebelum itu kami ketinggalan, selain aksi hambar di separuh masa pertama. "Bagaimanapun, para pemain memberi respon yang sangat baik di babak kedua, permainan berubah dan kita menguasainya sehingga pihak lawan tidak punyai peluang untuk melawan semula," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada aksi malam Sabtu, Sabah bangkit daripada ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama dengan tiga jaringan pada babak kedua. Mohd Ramzi Sufian meletakkan TFC II 1-0 di hadapan pada minit ke-39. Skuad Tambadau bagaimanapun memberi respon terhadap kata dua Peter dan Jelius semasa rehat dengan tiga gol pada babak kedua menerusi Park Taesu di minit ke-50, Luka Milunovic (minit ke-64) dan Ricco Nigel Milus (minit ke-73). Sementara itu, Jelius berkata, tindakan beberapa kelab penyokong yang berkempen untuk memboikot setiap aksi Sabah di Stadium Likas, di sini, tidak menjejaskan pasukan itu.
"Sudah tentu kita mengharapkan penyokong untuk datang tapi jika mereka tidak datang, kita pun tidak boleh memaksa namun apa yang penting, adakah mereka yang datang ke stadium itu bersungguh-sungguh menyokong kita atau tidak. "Bagi yang memboikot, itu terpulang kepada mereka namun ia adalah perkara lain dan pasukan tidak terjejas dengan tindakan mereka," katanya.
Sebelum aksi bertemu TFC II, malam tadi, beberapa kelab penyokong pasukan itu berkempen di media sosial agar para penyokong pasukan berkenaan memboikot semua aksi Sabah di Stadium Likas. Tindakan itu dipercayai dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan serta pembaharuan dilakukan pentadbiran baharu Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang diterajui pemangku presidennya, Datuk Peter Anthony. Bagaimanapun, lebih 2,000 penyokong setia pasukan itu tetap hadir bagi menyaksikan perlawanan bertemu TFCII, malam tadi. Ia adalah kemenangan pertama Sabah selepas kalah dan seri dua perlawanan sebelum ini. Sabah akan meneruskan cabaran menentang Sarawak di tempat lawan 23 Februari.--Utusanborneo
0 comments:
Catat Ulasan