Kapten Sabah, Rawilson Batuil (kiri) menghalang tendangan pemain Sarawak, Nur Shamie iszuan Amin pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri, hari ini. - Foto BERNAMA
Hilang fokus punca Sarawak tumbang
Sarawak tewas kepada Sabah dalam saingan Liga Perdana hari ini berpunca atas kegagalan beberapa pemain mempamerkan aksi berkualiti, kata ketua jurulatih pasukan, Mohd Farhan Abdullah. Katanya, pada separuh masa pertama, terdapat pemain yang hilang fokus, sehingga menyebabkan skuad Tambadau berjaya menyumbat dua gol pantas pada minit ke 36 dan ke-38.
“Walaupun kami cuba bangkit pada separuh masa kedua, tetapi ia agak terlewat kerana kesilapan mudah yang dilakukan barisan pemain saya di babak pertama. “Keputusan pengadil yang membatalkan dua jaringan kami di babak kedua juga, sedikit sebanyak mengganggu permainan kami,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Kapten Sarawak, Bobby Gonzales diasak oleh pemain Sabah, Mohd Azizan Nordin pada saingan Liga Perdana di Stadium Negeri, hari ini. - Foto BERNAMA
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri itu, Sabah berjaya mencuri tiga mata di tempat lawan hasil jaringan Rodoljub Paunovi dan Sabri Sahar manakala jaringan saguhati pasukan tuan rumah, di jaringkan Pedro Henrique di hujung babak kedua perlawanan. Sementara itu, ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata pujian harus diberikan kepada barisan pemainnya kerana menunjukkan aksi terbaik dan semangat juang yang tinggi, walaupun berhadapan saingan yang bukan mudah.
“Rezeki memihak kepada kami pada hari ini. Kita boleh lihat bagaimana Sarawak melancarkan serangan bertubi-tubi pada separuh masa kedua, namun barisan pertahanan kami berjaya bertahan dengan baik,” katanya.
Selepas ini Sarawak akan bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras bagi bertemu pasukan UKM FC manakala Sabah pula akan melayani kunjungan PDRM di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu depan. - BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan