Jelius Ating enggan dabik dada
Dua kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana bukanlah pengukur kekuatan Sabah musim ini, malah pengendalinya, Jelius Ating, enggan mendabik dada sebaliknya mengakui masih banyak kelemahan yang harus diatasi skuad Tambadau itu. Dalam aksi 'derby' Borneo di Stadium Negeri, Kuching, petang semalam, Sabah mencuri tiga mata dari gelanggang lawan apabila menundukkan Sarawak 2-1.
"Walaupun mencatat kemenangan, saya lihat masih ada lagi kelemahan dan ia perlu diatasi sekiranya kami berangan untuk pergi lebih jauh. "Selain bahagian tengah, kami juga perlu perbaiki disiplin di atas padang terutama ketika mendahului kerana saya melihat mereka agak selesa dan ia menyebabkan kelekaan," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.
Jurulatih berusia 48 tahun itu berkata lagi, bahagian tengah pasukan itu perlu lebih kreatif untuk melorongkan bola kepada bahagian serangan. Katanya, sekiranya mereka mampu mengatasi masalah-masalah berkenaan, tugas mereka untuk memenangi perlawanan akan lebih mudah.
Baca: Hilang fokus punca Sarawak tumpas
"Kami akan mencari jalan bagaimana mengatasi masalah ini, dan kami juga akan cuba mengatasi masalah penyudah kerana walaupun kami menang, banyak peluang yang gagal disudahkan dengan baik," katanya.
Sementara itu, Jelius berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan anak didiknya sehingga berjaya memenangi perlawanan di gelanggang lawan.
"Ini kemenangan pertama kami di gelanggang lawan musim ini dan saya harap ia bukan yang terakhir dan saya harap kemenangan ini juga memberi kami motivasi untuk aksi-aksi akan datang. "Apa yang penting, kami mengekalkan momentum ini (kemenangan) dan sudah pasti dalam aksi bertemu PDRM minggu depan, kami sekali lagi mahukan kemenangan untuk terus bersaing merebut kedudukan terbaik dalam liga," katanya.
--- Stadiumastro
0 comments:
Catat Ulasan