Cheng Hoe kongsi tips bola sepak "Jangan fikir ganjaran dahulu"
BERKONGSI ILMU: Cheng Hoe (kanan) berkongsi tips dengan pemain-pemain Sarawak semasa sesi latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching semalam.
Pemain-pemain bola sepak generasi muda harus mengikiskan budaya terlalu mementingkan ganjaran terlebih dahulu jika mahu pergi lebih jauh dalam sukan nombor satu dunia itu.
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata bakat sahaja belum menjaminkan kejayaan seseorang pemain itu jika mereka tidak berdisplin dan hilang fokus semasa perlawanan.
“Bakat sahaja tidak cukup, semua orang tahu tendang bola. Kita kena rajin dan perlu ada kekuatan diri. Pemain-pemain juga mesti ada keinginan untuk terus belajar memperbaiki kelemahan mereka.
“Ganjaran pasti akan datang secara automatik jika orang melihat potensi kita, justeru pemain-pemain perlu sentiasa bekerja keras meningkatkan prestasi diri masing-masing dan jangan mudah mengalah,” katanya ketika melawat sesi latihan skuad Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.
Menurut Cheng Hoe, untuk berjaya seorang pemain itu perlu memiliki ilmu dan sentiasa fokus baik semasa latihan mahupun ketika perlawanan dan apa yang penting, pemain juga perlu mempunyai sikap positif dan memiliki ‘winning mentality’.
Cheng Hoe berada di Kuching atas undangan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais untuk menghadiri majis perkahwinan anak perempuannya di sini semalam.
Ditanya sama ada berminat melatih Sarawak suatu hari kelak, Cheng Hoe berkata: “Saya jurulatih profesional dan boleh melatih di mana-mana. Sudah tentu suatu hari nanti saya mahu melatih Sarawak. Ini negeri yang besar dan mempunyai ramai bakat berpotensi”.
Justeru, kita perlukan program akar umbi yang baik kerana ia bukan sahaja membantu pasukan Sarawak malah untuk masa depan pasukan bola sepak negara.
Sementara itu, pengurus pasukan Sarawak Hamzah Brahim berpuas hati dengan perubahan ditunjukkan pemain-pemain semasa sesi latihan selepas diambil alih oleh jurulatih sementara, Mohammad Denny Da’ail sambil dibantu Ian Andrew Gillan.
Justeru, beliau mengharapkan peningkatan sama ditunjukkan dalam keputusan sebaik saingan liga bersambung nanti.
Menurutnya, Sarawak akan bertandang ke Semenanjung Malaysia untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada 21 Mac ini dan Melaka United pada 23 Mac.
“Kita memilih pasukan Liga Super sebagai rakan ‘sparring’ kerana mahu mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang masih terdapat dalam pasukan Sarawak,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan