Skuad kedua Tambadau tewaskan Melaka Utd 2-0
KESEBELASAN utama Tambadau Sabah pada perlawanan perahabatan kedua menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka, Khamis. Tambadau Sabah menang perlawanan itu 2-0.
Kekalahan skuad utama Tambadau Sabah ditebus pasukan kedua dengan kemenangan 2-0 ke atas Melaka United pada pertemuan kedua perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka, Khamis.
Skuad utama Tambadau Sabah tewas dengan jaringan sama di tangan lawan dari Liga Super itu pada Rabu.
Ketua jurulatih, Jelius Ating ketika dihubungi berkata, pemain dari barisan keduanya itu terutama yang jarang dan belum bermain dalam saingan sebenar sebelum ini menunjukkan potensi bahawa mereka berada di landasan yang betul.
"Mereka menunjukkan kesungguhan bahawa mereka boleh bermain dan berpotensi menjadi sandaran skuad utama. Saya lihat mereka sedang ke arah itu, cuma perlu lebih banyak pendedahan perlawanan seperti ini," kata Jelius.
Pada perlawanan itu, kecuali Park Tae Su, semua pemain lain yang disenaraikan sebagai kesebelasan adalah pemain jarang atau tidak pernah beraksi dalam saingan sebenar sebelum ini.
JELIUS ATING
Tugas selaku penjaga gol utama dipikulkan kepada Robson Rendy Rining manakala Park digandingkan dengan Jenius Karib, Alto Linus dan Muhammad Mohd Safar di bahagian pertahanan.
Bahagian tengah dan sayap diisi Melky Balang, Justin Samaan, Elias Sulaiman dan Stanley Sulong sementara jentera serangan diterajui gandingan Mazlan Yahya dan Rahman Shah Marajeh.
Jelius melakukan lima pertukaran sepanjang babak kedua dengan memasukkan Mohd Azwan Abd Fattah menggantikan Justin Samaan, Ariusdius Jais (Stanley), Rodoljub Paunovic (Rahman Shah), Ranilson Batuil (Alto) dan Mafry Balang (Muhammad Mohd Safar).
Dikatakan bahawa Melaka United juga menyenaraikan gabungan pemain simpanan dan utama.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama tetapi Tambadau Sabah memcecahkan kebuntuan jaringan itu ketika aksi babak kedua baru berusia dua minit (minit ke-47) menerusi Stanley Sulong.
Melky kemudian mengesahkan kemenangan 2-0 Tambadau Sabah dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit terakhir permainan.
Tambadau Sabah kembali menggunakan barisan pemain utamanya pada perlawanan persahabatan terakhirnya menentang sebuah lagi pasukan dari Liga Super, Selangor PKNS di Stadium MBPJ malam esok.
"PKNS tentunya akan memberikan kita satu lagi ujian terbaik. Kita akan manfaatkan sepenuhnya perlawanan itu untuk dijadikan panduan memperbaiki kelemahan pasukan," kata Jelius.
Tambadau Sabah mempunyai tempoh kira-kira seminggu selepas perlawanan pemanas badan malam ini untuk membuat persiapan meneruskan saingan Liga Premier menentang Pulau Pinang di Stadium Likas pada 30 Mac.- UTUSANBORNEO
0 comments:
Catat Ulasan