Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Selasa, 12 Mac 2019

ACL: Gol penalti Diogo bantu JDT ikat Gyeongnam

ACL: Gol penalti Diogo bantu JDT ikat Gyeongnam 



JDT 1 GYEONGNAM 1


Johor Darul Ta'zim (JDT) memperoleh mata pertama dalam saingan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Gyeongnam FC 1-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Jaringan penalti Diogo Santo dalam babak kedua memastikan kebangkitan skuad Harimau Selatan itu selepas Gyeongnam terlebih dahulu di depan menerusi tandukan pemain pertahanan, Kwak Tae-hwi.

JDT sepatutnya memenangi aksi di Larkin itu berikutan deretan peluang yang diperoleh menjelang wisel penamat, namun mereka dihampakan percubaan yang terkena tiang dan palang gol lawan.

Selepas ditewaskan 1-2 oleh juara bertahan, Kashima Antlers, dalam perlawanan pertama minggu lalu, JDT turun beraksi di laman sendiri dengan membawa misi untuk meraih kemenangan pertama.
Bagaimanapun, mereka gagal memperoleh sebarang jaringan dalam babak pertama dengan peluang terbaik muncul pada minit ke-13 menerusi percubaan Safawi Rasid dari jarak 25 meter yang ditepis keluar penjaga gol Gyeongnam, Lee Bum-soo.

Diogo turut berpeluang memperoleh jaringan awal buat tuan rumah pada minit ke-24, namun percubaan akrobatiknya susulan hantaran lintang Safawi melewati palang gol lawan.

Disebalik asakan bertali arus ke kubu lawan, JDT dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat dalam babak kedua.

Menerusi sepakan sudut Lee Young-jae, Tae-hwi yang tidak dijaga melompat tinggi untuk menanduk masuk bola yang menewaskan Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-52.

JDT, bagaimanapun, hanya memerlukan 16 minit untuk memberikan reaksi balas selepas bola sepakan sudut Safawi terkena tangan Ju Hung Song.

Diogo tidak melepaskan peluang sepakan penalti itu untuk menjaringkan gol keduanya di peringkat Asia dengan rembatan ke bahagian tengah yang dilakukannya gagal dibaca Bum-soo.

Jaringan itu jelas menaikkan semangat JDT untuk memburu gol kemenangan dan peluang itu tiba pada minit ke-72.

Menerusi hantaran daripada Gonzalo Cabrera, Safawi meloloskan diri untuk melepaskan rembatan yang terkena tiang sebelah kiri gawang Bum-soo dan sepakan susulan daripada Cabrera pula sekadar hinggap di palang.

Peluang sama tiba pada minit ke-88 apabila tandunkan ke bawah Diogo hasil hantaran lintang Safawi Rasid melantun ke tanah sebelum terkena palang gol Gyongnam untuk juara Liga Super lima kali berturut-turut itu sekadar berpuas hati dengan kutipan satu mata pertama.

Keputusan seri itu meletakkan JDT di tangga tercorot Kumpulan E dengan kekurangan satu mata di belakang Gyeongnam yang menghuni tangga ketiga.

Kashima pula kekal selaku peneraju dengan empat mata diekori kelab China, Shandong Luneng, yang kekurangan dua mata.

Keputusan Kumpulan E
JDT 1 Gyeongnam 1
Shandong Luneng 2 Kashima Antlers 2 

Kredit foto: Johor Southern Tigers


--- STADIUMASTRO
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog