Sabah FA menentang Pilihan Keningau di Stadium Keningau
Walaupun hanya aksi persahabatan, skuad Sabah teruja untuk beraksi dengan pasukan Pilihan Keningau, malah mereka dijangka menurunkan kesemua empat pemain import dalam perlawanan di Stadium Keningau, malam esok.
Pengurusnya, Henry Saimpon, berkata ia adalah perlawanan amal, namun mereka juga menjadikannya sebagai antara program persiapan pasukan berikutan saingan Liga Perdana yang kini berehat panjang.
"Ini adalah program persiapan pertama kami di luar Kota Kinabalu, jadi semua pemain teruja untuk beraksi di sana (Keningau), terutama empat pemain import, iaitu Park Tae Su, Luka Milunovic, Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.
"Kami akan cuba memberi peluang semua pemain beraksi, termasuk barisan utama yang telah meletakkan pasukan di kedudukan kedua dalam carta liga ketika ini. Kesemua empat pemain import akan beraksi," katanya dalam satu kenyataan, di Kota Kinabalu, hari ini.
Henry percaya bahawa perlawanan itu akan menjadi latihan berkualiti buat Sabah kerana pasukan Pilihan Keningau juga telah membuat persiapan untuk perlawanan tersebut.
Sementara itu, selain aksi skuad Tambadau, peminat bola sepak juga berpeluang menyaksikan perlawanan di antara pasukan bekas pemain Sabah dan pasukan Pilihan Veteran Keningau.
"Sepak mula perlawanan antara pasukan bekas pemain Sabah dan Pilihan Veteran Keningau adalah pada jam 7.00 malam, disusuli perlawanan Tambadau Sabah dengan Pilihan Keningau pada jam 8.00 malam," tambah Henry.
"Masuk juga adalah percuma tetapi oleh kerana ini adalah perlawanan amal bagi membantu bekas pemain Sabah dan Pedalaman Atas yang saki,t iaitu Paulus Jimit dan Jelius Arurung, tabung akan diedarkan untuk diisi penonton secara sukarela."
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) diketuai pemangku presiden, Datuk Peter Anthony, turut dijadualkan melawat Paulus di kediamannya di Tambunan pada sebelah pagi sebelum membawa pasukan untuk perlawanan di Keningau.-- STADIUMASTRO
0 comments:
Catat Ulasan