Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Khamis, 28 Februari 2019

Tambadau diperkuatkan semula empat import

Tambadau diperkuatkan semula empat import




LUIZ Carlos Junior (kiri) semasa latihan skuad Tambadau Sabah di padang Sintetik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Khamis.- Gambar ihsan Media Safa.

Skuad Tambadau Sabah dijangka kembali diperkuatkan dengan maksima empat import apabila meneruskan cabaran menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas, Sabtu ini (2 Mac).

Pengurus Pasukan Henry Saimpon berkata, penyerang dari Brazil, Luiz Carlos Junior yang diketepikan kerana kecederaan otot paha ketika menentang Sarawak, Sabtu lalu telah pulih dan sudah menyertai pasukan berlatih.

Tiga lagi import Sabah ialah Park Taesu (pertahanan), Luka Milunovic (penyerang tengah) dan Rodoljub Paunovic (penyerang).

"Kehadiran semula Junior tepat pada masanya kerana penggantinya sebelum ini, Ricco Nigel Milus tidak dapat disenaraikan pada Sabtu. Ricco menjalani penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning.

Baca: Awasi kelincahan Ronaldinho di Likas


"Apapun, ketiadaan satu dua pemain kerana kecederaan atau penggantungan permainan adalah perkara biasa dalam bola sepak. Kita kena bersedia dengan situasi ini," kata Henry ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, kecuali Ricco, semua pemain lain sedia untuk disenaraikan dan beliau percaya pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih Jelius Ating akan bersedia sepenuhnya menghadapi PDRM.

Henry berkata, pasukan kini dalam keadaan baik dan Jelius dijangka akan memutuskan senarai pemain utama selepas latihan terakhir hari ini.

HENRY SAIMPON

"Pasukan dalam suasana yang cukup bagus. Prestasi pasukan juga terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Kita memulakan musim ini dengan agak hambar kerana persiapan singkat dan kurang perlawanan pra-musim. Bagaimanapun selepas empat perlawanan, kita nampak keserasian kombinasi pemain semakin meningkat.

"Sebab itu saya yakin kita akan tampil dengan lebih mantap apabila menghadapi PDRM. Kita bertekad meneruskan rentak kemenangan untuk memastikan Tambadau Sabah terus berada di landasan baik sebagai salah satu pencabar utama saingan ini," katanya.

Sabah kini di kedudukan ketiga carta Liga Premier selepas mengumpul tujuh mata dari empat perlawanan dengan rekod dua menang, satu seri dan satu kalah.

Sambil itu, Henry berharap lebih ramai penyokong datang memberi sokongan kepada pasukan.

Tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan mula dijual pada jam 10.00 pagi Sabtu.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog