Tambadau tewas 0-4 di tangan Kedah
Skuad bawah 19 tahun Tambadau Sabah tersungkur dengan kekalahan 0-4 di tangan Kedah dalam saingan Kumpulan B Piala Belia di Stadium Penampang petang tadi (Rabu). Sabah ketinggalan 3-0 pada separuh masa pertama dengan Kedah membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi sepakan penalti Muhamad Syabani Mohd Saberi.
Kedah dihadiahkan sepakan penalti selepas salah seorang pertahanan Sabah tertampan bola dengan tangan di dalam kotak penalti. Kedah kemudiannya mematikan langkah Sabah dengan tambahan dua gol lagi dalam tempoh tiga minit untuk mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.
Afif Awwadi Ahmad Tajuddin meletakkan Kedah 2-0 di hadapan dengan menolak bola ke gawang kosong ditinggalkan penjaga gol Sabah Fahmi Ikhwan Muhamad Azmi yang sebelumnya keluar dari posisi untuk menghalang ancaman salah seorang penyerang lawan pada minit ke-18. Belum sempat mengatur rentak, gawang Sabah bolos buat kali ketiga menerusi Syabani yang menyudahkan hantaran lintang Afif pada minit ke-21.
Selepas rehat, skuad bimbingan Billyton Vun Kit Ming cuba bangkit tetapi langkah mereka sekali lagi dimatikan jaringan keempat Kedah menerusi Muhamad Hazim Ramli ketika aksi baru berusia tiga minit (minit ke-48). Hazim memintas sambil merampas bola dari dua pertahanan Sabah di dalam kotak penalti sebelum meledakkan gol untuk mengesahkan kemenangan 4-0 Kedah.
Beberapa gerakan yang cuba Sabah lakukan selepas itu tidak menjadi untuk akur lawan yang juga juara 2017 itu keluar sebagai pemenang. Sabah malahan bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak gol dengan beberapa lagi peluang pasukan pelawat termasuk dalam keadaan satu lawan satu diselamatkan Fahmi Ikhwan.
0 comments:
Catat Ulasan