Muhammad Syahmi Safari
Jaringan Syahmi tercalon Anugerah Puskas FIFA
Adakah nama Malaysia sekali lagi akan bergema di Zurich, Switzerland selepas kejayaan pemain Pulau Pinang, Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi sepakan percuma 'melanggar' hukum fizik pada 2016? Impian itu mungkin dapat direalisasikan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk mencalonkan jaringan pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ke anugerah berkenaan bagi tahun ini.
Baca: "Kami bukan pakar seri"
Jaringan terbabit dihasilkan pemain muda Selangor itu pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2018 bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok yang menyaksikan skuad Harimau Malaya mara ke pentas akhir dengan kelebihan gol di tempat lawan menerusi agregat 3-3. Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata keputusan menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas selesai mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM yang turut disertai Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini.
"FAM akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan gol yang dijaringkan Syahmi supaya dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah terbabit dan salinan video gol turut dilampirkan sebagai penilaian oleh FIFA. "Biarpun mengetahui senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA. "Berdasarkan keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran melibatkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan menarik oleh Syahmi, FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebagai rekod, FAM sebelum ini turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA untuk gol yang dihasilkan oleh bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri pada 22 Februari 2016. Keputusan FAM untuk menghantar pencalonan bagi gol itu nyata tepat selepas ia membawa kejayaan yang menyaksikan sepakan percuma unik itu muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016.
---- bharian
0 comments:
Catat Ulasan