TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi (kanan) ketika melakukan undian disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam. - Foto Owee Ah Chun
Peluang skuad divisyen bawahan jadi 'pembunuh gergasi'
Undian pusingan kedua Piala FA 2019 menyaksikan lima pasukan Liga Super dijadual bertemu pasukan amatur sekali gus mencetuskan prospek akan berlakunya kejutan ‘pembunuh gergasi’. Lima pasukan termasuk penyandang juara, Pahang akan bertemu PIB FC, Batu Dua FC menentang PKNP FC, Tun Razak FC menentang Kuala Lumpur, Kuching FA bertemu FELDA United dan Ultimate FC menentang Terengganu FC (TFC) dengan semua pasukan Liga Super beraksi sebagai pelawat.
Meskipun pasukan Liga Super dilihat berdepan laluan mudah susulan jurang pengalaman dan kualiti, namun magis Piala FA kadangkala memungkinkan perkara yang tidak dijangka untuk berlaku.
KEPUTUSAN undian pusingan kedua Shopee Piala FA 2019 di Damansara Perdana, hari ini. - Foto Owee Ah Chun
Turun selaku pilihan, namun pasukan Liga Super tetap perlu berhati-hati memandangkan pasukan dari divisyen bawahan yang sudah berhempas pulas menempah tiket ke pusingan kedua pasti mahu terus melangkah jauh dan semangat mereka sudah tentu berkobar terutamanya berpeluang menguji pasukan elit di negara ini.
Dalam majlis undian yang berlangsung, hari ini, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak perlu ‘berpeluh’ apabila menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan ketiga selepas mendapat ‘bye’ pada pusingan kedua.
Undian lain menyaksikan pertembungan Liga Super membabitkan PKNS FC menentang Melaka United dan memberi peluang buat skuad Semut Merah membalas dendam susulan kekalahan 1-0 ke atas skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu pada aksi liga, bulan lalu.
Dua pasukan Liga Perdana turut bertembung sesama sendiri dengan PDRM berentap dengan Sarawak selain aksi yang sudah pasti menarik iaitu ‘Tetangga Bandar Tun Razak’ membabitkan pasukan Tun Razak FC dan Kuala Lumpur.
Selain itu, satu pasukan amatur sekurang kurangnya sudah mengesahkan tiket ke pusingan ketiga apabila Jerantut FA diundi bertemu JBFA dan undian sekali lagi akan dijalankan pada pusingan ketiga bagi menentukan lawan masing masing.
Keputusan penuh undian Pusingan Kedua Piala FA
Protap FC mln UKM FC
Perak mln Negeri Sembilan
Selangor United mln Kedah
Batu Dua FC mln PKNP FC
Kelantan mln Selangor
PDRM mln Sarawak
PKNS FC mln Melaka United
Penjara FC mln Pulau Pinang
PIB FC mln Pahang
Tun Razak FC mln Kuala Lumpur
Kuching FA mln FELDA United
Ultimate FC mln Terengganu FC
UiTM FC mln PJ City FC
Jerantut FA mln JBFA
Kelantan United mln Sabah
‘Bye’ ke pusingan ketiga Johor Darul Ta’zim (JDT)
0 comments:
Catat Ulasan