Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Khamis, 7 Mac 2019

Persatuan sukan dapat RM3.086 juta Geran

Persatuan sukan dapat RM3.086 juta Geran


SETIAUSAHA Persatuan Akuatik Sabah (SASA) Cynthia Chin menerima replika Geran Tahunan dan Insentif Kemenangan daripada Frankie.

Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah mengagihkan RM3,086,000 Geran Tahunan 2019 kepada 53 persatuan sukan negeri ini.

Geran tersebut disampaikan Menteri Belia Dan Sukan Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam satu majlis khas di Grand Balroom Hotel Ming Garden di sini.

Turut disampaikan adalah Insentif Kemenangan Atlet Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2018 dari 19 persatuan sukan berjumlah RM79,400 dan Insentif Kemenangan Kontinjen Para Sukma 2018 Sabah berjumlah RM115,400.

Mendahului senarai penerima tertinggi Geran Tahunan adalah Persatuan Angkat Berat Sabah (SWA) dan Persatuan Memanah Sabah (SAA) yang masing-masing menerima RM125,000.

Turut menerima geran enam angka adalah Persatuan Sukan Akuatik Sabah (RM123,000), Kesatuan Ragbi Sabah (RM122,000) dan Persatuan Sepaktakraw Sabah (RM105,000).

Penerima lain adalah Peratuan Akido (RM20,000), Persatuan Badminton (RM87,000), Persatuan Berbasikal (RM99,000), Persatuan Bina Badan (RM43,000), Persatuan Bola Baling (RM20,000), Persatuan Bola Jaring (RM56,000), Persatuan Bola Keranjang (RM86,000), Persatuan Bola Sepak (RM99,000), Persatuan Bola Tampar (RM41,000), Persatuan Boling Padang (RM75,000), Persatuan Brazilian Jiu-Jitsu (RM29,000), Persatuan Catur (RM23,000), Persatuan Floorball (RM23,000), Persatuan Pacuan Empat Roda (RM23,000), Persatuan Gimnastik (RM79,000), Persatuan Golf (RM90,000), Persatuan Hoki (RM91,000), Persatuan Judo (RM27,000), Persatuan Kanu (RM20,000), Persatuan Karate (RM95,000), Persatuan Kriket (RM43,000), Persatuan Lawan Pedang (RM89,000), Persatuan Muay Thai (RM30,000) dan Persatuan Olahraga Masters (RM37,000).

Persatuan Pelayaran menerima RM98,000, Persatuan Perahu Naga (RM22,000), Persatuan Petanque (RM32,000), Persatuan Ping Pong (RM69,000), Persatuan Seni Silat (RM47,000), Persatuan Shorinji Kempo (RM20,000), Persatuan Silambam (RM53,000), Persatuan Snuker & Billiard (RM35,000), Persatuan Softbol (RM20,000), Persatuan Tenis Ringan (RM23,000), Persatuan Skuasy (RM56,000), Persatuan Sukan Bermotor (RM22,000), Persatuan Taekwondo Bersatu (RM78,000), Persatuan Tarik Tali (RM20,000), Persatuan Tenis (RM58,000), Persatuan Tenpin Boling (RM56,000), Persatuan Tinju (RM77,000) dan Persatuan Wushu (RM33,000),

Turut menerima ialah Persatuan Catur Cina (RM22,000), Persatuan Larian Berhalangan (RM20,000) dan Persatuan Dancesport (RM20,000) manakala selebihnya yang belum diumumkan jumlahnya adalah untuk Persatuan Olahraga, Persatuan Menembak dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

Frankie berkata, pemberian Geran Tahunan dan Insentif Kemenangan itu adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan warga sukan termasuk dari golong Orang Kelainan Upaya (OKU) mengharumkan nama negeri.

"Saya meletakkan harapan tinggi agar pemberian geran dan skim insentif ini akan menjadi batu loncatan kepada seluruh penggiat sukan negeri Sabah untuk terus berusaha memburu kejayaan di kejohanan yang lebih berprestij," kata Frankie.

Beliau berkata, pemberian insentif kemenangan bagaimanapun hanya untuk atlet yang menyertai kejohanan senior yang dianjurkan dan diiktiraf persatuan sukan kebangsaan dan kejohanan antarabangsa yang diiktiraf persatuan sukan kebangsaan.

Beliau berharap, persatuan sukan yang tidak tersenarai dalam skim pemberian insentif menggandakan usaha meningkatkan pengurusan persatuan.

Sambil itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Sabah (SWA) Philip Gisan berterima kasih kepada KBS Sabah terutama Frankie atas pemberian geran tahunan yang diterima persatuan itu yang menurutnya telah meningkat.

"Kami akan manfaatkan sepenuhnya geran tahunan ini untuk menjayakan aktiviti persatuan demi kemajuan sukan angkat berat Sabah.

"Antara aktiviti yang akan kami beri tumpuan adalah program pembangunan termasuk penganjuran dan penyertaan dalam kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan dan negeri," katanya.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog