WONG Choong Hann - Foto HAFIZ SOHAIMI
Choong Hann mula perhalusi masalah pemain
KUALA LUMPUR: Peralihan pemain badminton remaja ke skuad senior perlu dilengkapi dengan pemikiran yang betul selain kemahiran, sekiranya mereka mahu mencabar pemain terbaik dunia.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, pemain perlu mendapat gabungan ramuan yang betul, tidak boleh kekal enggan mengambil risiko atau erti kata lain tersekat di ‘generasi sandwic’.
ADVERTISING
Pemain seperti ini tidak akan menjadi pemain terbaik dan mereka juga tidak banyak membantu pemain di bawah mereka.
“Saya percaya (Goh) Jin Wei mempunyai ramuan untuk menjadi pemain terbaik,” kata Choong Hann mengulas kejayaan pemain perseorangan wanita negara yang meraih gelaran kali kedua pada Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada, Ahad lalu.
“Sudah tentu, saya juga sudah mengadakan perbincangan singkat dengan ketua jurulatih perseorangan wanita (Datuk Tey Seu Bock) untuk menyediakan program untuknya.
“Kami masih dalam perbincangan untuk memuktamadkannya jadi saya akan memberi komen lanjut apabila ia sudah selesai.
“Begitupun, saya perlu menyatakan kami mesti berusaha mengubah pemikiran dan kemahiran pemain sebelum bercakap mengenai strategi permainan. Kami perlu melengkapkan mereka dengan senjata yang betul sebelum pergi berperang.
“Bayangkan saya mahu berlumba dengan Ferrari apabila saya hanya memandu Kancil. Sekalipun saya menggandakan latihan saya, saya tetap akan kalah. Saya perlu memandu Porsche sebelum saya mampu berlumba dengan Ferrari.
“Persamaannya, kami perlu mengkaji setiap pemain untuk mengetahui apa yang terbaik untuk mereka,” kata Choong Hann ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.
Choong Hann yang juga bekas pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2003 percaya masalah kebanyakan pemain negara adalah mereka terlalu selesa.
- bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan